3 April 2009

Peralihan Kuasa Secara Aman Hadiah Berharga Kepada Rakyat

[BERNAMA - 03 April, 2009]
KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama)-- Peralihan kuasa secara aman antara Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap hadiah yang amat berharga daripada seorang pemimpin berjiwa besar kepada rakyat.
Dalam khutbah yang dibacakan di seluruh negara pada solat Jumaat hari ini, rakyat Malaysia diseru supaya menghargai pengorbanan mantan Perdana Menteri Abdullah kerana tindakan beliau untuk memastikan kestabilan negara terus kukuh dan rakyat boleh meneruskan kegiatan ekonomi dan beribadah secara aman.
"Mimbar ini amat yakin peralihan kuasa secara aman dianggap sebagai langkah bijak demi menjaga masalah negara dan masa depan umat Islam," menurut teks khutbah tersebut yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang difaks kepada Bernama.
Kandungan khutbah itu menyatakan bahawa berdasarkan sejarah politik negara, peralihan kuasa secara aman bukanlah perkara baru tetapi sebenarnya telah menjadi budaya di negara ini.
"Banyak negara kagum dengan tradisi peralihan kuasa di Malaysia tanpa ada kekecohan besar walaupun rakyat terdiri daripada berbilang kaum dan berlainan agama.
"Selain itu, umat Islam juga diingatkan bahawa jawatan pemimpin tidak boleh dianggap sebagai satu keistimewaan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan dalam memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
"Islam melihat seorang pemimpin itu ibarat wakil atau pemberi khidmat kepada rakyat manakala rakyat pula berhak untuk menasihati seseorang pemimpin," menurut khutbah itu.
-

Tiada ulasan: