9 Ogos 2009

Kaedah baru pilih pemimpin

[Utusan - 09/08/09]
Oleh YUSRI SAHAT dan YULPISMAN ASLI utusanpahang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak memeriksa perbarisan anggota Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pekan, semalam.

*****
PEKAN 8 Ogos - UMNO akan membuat keputusan berhubung dua kaedah pemilihan jawatan tertinggi dalam pindaan perlembagaan parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula 13 hingga 16 Oktober ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua kaedah itu ialah proses pemilihan ditentukan oleh 60,000 perwakilan di peringkat bahagian dan menerusi 'pilihan raya' membabitkan tiga juta ahli di peringkat cawangan.
Menurut beliau, pindaan perlembagaan itu dilihat dapat menutup ruang berlakunya politik wang dalam kalangan calon yang bertanding pada setiap kali pemilihan parti.
''Pemilihan akan dibuat sama ada daripada 60,000 perwakilan bahagian atau dibuat secara terbuka kepada tiga juta ahli UMNO di akar umbi.
''Apa yang penting, jangan beri ruang kepada politik wang membudaya dalam UMNO," katanya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika menggulung perbahasan dalam persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Perhimpunan Agung Khas berhubung pindaan perlembagaan UMNO akan diadakan sebelum perhimpunan agung parti itu pada 13 Oktober ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO memberitahu, perhimpunan khas itu bagi mendapatkan pandangan dan cadangan semua bahagian sebelum perlembagaan itu dipinda pada perhimpunan agung tersebut.
Najib menegaskan, proses pemilihan jawatan tertinggi yang dilakukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan yang diamalkan sekarang tidak menggambarkan aspirasi tiga juta ahli parti di peringkat akar umbi.
Proses tersebut, jelasnya, boleh memberi ruang kepada calon-calon jawatan tertinggi terbabit dalam politik wang.
Lebih mendukacitakan, katanya lagi, ada calon terlepas daripada hukuman, manakala sebahagian yang lain dikenakan tindakan disiplin.
''Ada calon merasa tidak adil kerana ada yang terlepas daripada hukuman," jelas beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan.
Sehubungan itu, tegas Najib, pindaan perlembagaan parti bertujuan memperkasakan semula UMNO sekali gus membersihkan imej parti daripada terus dipandang negatif oleh rakyat.
''Rakyat telah melihat UMNO sebagai parti yang tidak bersih dan proses pemilihan pemimpinnya juga sukar diterima oleh mereka.
''Oleh itu, kita bukan sahaja mahu proses pemilihan yang bersih, tetapi parti juga mahu dilihat bersih," tegasnya.
Beliau menambah, pindaan perlembagaan itu akan memastikan proses pemilihan parti yang lebih demokratik, bersih dan memberi lebih banyak kuasa kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan ahli-ahli parti supaya membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
''Segala persiapan dari segi strategi dan pelaksanaan perlu diatur bermula daripada sekarang dengan mendampingi rakyat," katanya.
Tegas beliau, UMNO tidak mempunyai kekebalan dalam sistem demokrasi yang boleh menyebabkan rakyat tidak lagi memilih parti itu pada pilihan raya akan datang.

##

Tiada ulasan: