9 Ogos 2009

Pakatan pembangkang bagaikan retak menanti belah

[Bernama - 09/08/2009 12:51pm]
PERTH 9 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan pakatan pembangkang boleh diibaratkan seperti “retak menanti belah” berikutan polemik serta pelbagai masalah yang dihadapi antara parti-parti dalam gagasan pembangkang itu.
“Retak tunggu belah... ramalan saya mungkin dalam satu dua tahun ini terburai. Menjelang pilihan raya akan datang situasinya... mereka tidak boleh kekal,” katanya ketika ditanya mengenai perbalahan antara Pas dan DAP di Selangor berhubung isu penjualan arak.
Katanya, sejak dari mula lagi pakatan pembangkang tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat seperti terbukti melalui pelbagai peristiwa yang berlaku di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), menyifatkan pakatan pembangkang sebagai sebuah gagasan yang longgar tidak seperti BN yang mempunyai perlembagaan serta semua parti komponen memikul tanggungjawab secara bersama.
“Jadi saya melihat petanda keretakan yang jelas awal-awal lagi. Nampak dalam banyak perkara mereka tidak bersetuju (antara satu sama lain) tapi kesan paling buruk adalah pada rakyat (akibat perbalahan mereka),” katanya.
Justeru, katanya, rakyat perlu sedar dan faham bahawa mereka tidak harus mengorbankan masa depan mereka dengan menyokong pakatan pembangkang semata-mata mereka tidak puas hati dengan beberapa isu.
##

Tiada ulasan: