17 Ogos 2009

Keluarga Rohaizat Bantu Berkempen Raih Undi Untuk BN

[Bernama - 17 Ogos, 2009 16:37 PM]
BUKIT MERTAJAM, 17 Ogos (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman bukan sekadar mendapat sokongan dan bantuan daripada rakan dan sahabat, malah seluruh keluarganya juga akan turun berkempen untuk meraih undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir 25 Ogos ini.
Bapa Rohaizat, Othman Ishak, 68, berkata beliau akan turun untuk berkempen dan membantu anaknya yang pertama kali terpilih sebagai calon pilihan raya itu.
Othman, pesara kerajaan berkata, beliau memahami cita-cita anaknya untuk menjadi pemimpin sejak kecil lagi dan berharap cita-cita itu akan menjadi kenyataan.
"Sejak kecil dia bercita-cita mahu jadi pemimpin tetapi saya tidak sangka dia mampu menjadi pemimpin dalam usia yang muda," kata beliau kepada pemberita di sini pada hari Isnin.
Othman dan isteri Siti Fatimah Mat Akib, 60, turut menyertai rombongan mengiringi Rohaizat ke pusat penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini.
Isteri Rohaizat, Khairul Niza Abdul Razak, 38, seorang pensyarah di Pusat pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) berkata beliau juga akan membantu suaminya sepanjang tempoh berkempen.
Khairul Niza berharap suaminya dapat memenangi kerusi DUN tersebut bagi membuktikan calon muda juga mampu memberi saingan di kubu kuat PAS di negeri itu.
##

Tiada ulasan: