17 Ogos 2009

Tindakan Gobalakrishnan Memalukan Anggota Parlimen, Kata Muhyiddin

[Bernama - 17 Ogos, 2009 20:54 PM]
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Tindakan anggota Parlimen pembangkang N.Gobalakrishnan menimbulkan kekecohan semasa penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir hari ini adalah seperti individu yang tidak tahu undang-undang dan memalukan Parlimen, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan seolah-olah sengaja hendak menunjukkan kejaguhan di tempat yang salah.
Beliau berkata hari pertama proses pilihan raya kecil yang sepatutnya berlangsung dalam keadaan tenang dan aman telah dicemari oleh insiden itu
."Ini hari yang pertama, sebelum kita tahu siapa calon nak bertanding, dia sudah buat peel (perangai) yang tak senonoh.
"Saya fikir, ahli Parlimen itu sepatutnya faham, bijak. Saya tidak tahu kenapa bertindak sebegitu rupa. Apa lagi terlibat dengan pihak berkuasa yang menjaga keselamatan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan My Tuition di Taman Bukit Angkasa di sini.
Beliau berkata rakyat sepatutnya sedar akan tindakan sesetengah pemimpin pembangkang yang cuba mencabar undang-undang dengan bertindak sesuka hati serta mencetuskan huru-hara.
"Ini nak provokasi supaya esok dia boleh pergilah kempen ke bawah (dan berkata)... inilah polis tidak bertanggungjawab," katanya.
Muhyiddin berkata polis setakat ini telah menjalankan tugas secara berhemah untuk mengawal keselamatan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Tadi suasana cukup aman dan baik. Kita lihat orang berlari-lari nak tengok apa hal berlaku, rupanya ianya perbuatan bodoh, tak hormat undang-undang," katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan pembangkang supaya menasihatkan anggota dan penyokong parti itu agar tidak melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang serta menimbulkan kekecohan sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.
Beliau berkata suasana aman dan tenteram boleh membantu pengundi di Permatang Pasir membuat pertimbangan yang rasional dengan tidak diganggu-gugat oleh tindakan yang melanggar undang-undang.
"Jadi kalau itu dapat kita wujudkan, mereka akan membuat keputusan yang rasional. Mereka tidak akan rasa takut, dan ramai-ramai akan keluar pada hari mengundi," katanya.
Kekecohan berlaku apabila Gobalakrishnan yang juga anggota Parlimen Padang Serai mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.
Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam.
Pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 25 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Rohaizat Othman, 38, dan Mohd Salleh Man Mat Aji, 52, daripada PAS.
##

Tiada ulasan: