6 September 2009

Ahli MPPP DAP dibaling selipar

[Berita Minggu - 06/09/09]
Oleh Petah Wazzan Iskandar dan Syed Ismail Syed Abu Bakarb
minggu@bharian.com.my

LIM membawa selipar yang dibaling seorang peniaga bazar Ramadan ketika membuat laporan di IPK Pulau Pinang, semalam.

*****

40 peniaga bazar Ramadan berang dilarang niaga di kaki lima depan Pasar Raya Mydin GEORGETOWN: Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari parti DAP, Lim Siew Khim, dibaling dengan selipar oleh seorang daripada 40 peniaga di Bazar Jalan Penang dalam kekecohan berlaku di pasar berkenaan, di sini, semalam.

Selipar itu mengenai bahagian belakang Lim yang ketika itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar, Ng Wei Aik memberi penjelasan berhubung larangan MPPP menghalang peniaga daripada berniaga di kaki lima di depan Pasar Raya Mydin, Jalan Penang.

Peniaga berkenaan membaling selipar itu selepas tidak berpuas hati dan marah dengan penjelasan Ng bahawa larangan itu dibuat atas beberapa sebab antaranya laluan pejalan kaki itu sempit. Selain itu, Ng mendakwa larangan itu dibuat selepas menerima laporan daripada peniaga bazar mengenai tindakan menyewakan lesen kepada rakyat asing selain kesesakan teruk. Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri memperuntukkan tempat perniagaan alternatif iaitu di Jalan Megazine dan Penang Times Square kepada peniaga di bazar berkenaan.

Berikutan kejadian itu, Lim membuat laporan bersama Ng, manakala Ahli Majlis MPPP, Harvindar Singh turut membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.Mereka membuat laporan itu terhadap Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Rezal Fariz Mohideen kerana mendakwa beliau cuba mencetuskan kekecohan.

Terdahulu, keadaan kecoh mula tercetus selepas kehadiran kira-kira 30 anggota penguat kuasa MPPP yang tiba dengan dua lori dan tiga kereta peronda bersama 10 anggota polis kira-kira jam 11 pagi menghalang penjaja berniaga di kawasan itu.

Rezal yang ditemui selepas itu mempertahankan tindakan peniaga itu membuat kekecohan kerana sudah menjalankan perniagaan di situ sejak 24 tahun lalu pada setiap Ramadan. Beliau turut mempersoalkan mengapa tindakan hanya disasarkan kepada peniaga Melayu sedangkan peniaga keturunan lain khususnya yang menjalankan perniagaan seperti perayaan `Hungry Ghost' dan Thaipusam tidak dikenakan tindakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, berkata pihaknya akan memaklumkan kepada MPPP supaya memberi kebenaran sementara sehingga Selasa kepada peniaga Jalan Penang. "Tempoh sehingga Selasa kerana Isnin adalah cuti umum, kami perlu membuat permohonan baru kepada MPPP.

Bagaimanapun, saya jamin kekecohan hari ini (semalam) tidak berulang." Selain itu, kerajaan negeri akan mengkaji cadangan yang dibangkitkan DDPMPP iaitu mewartakan Jalan Penang sebagai tapak bazar Ramadan dan juga tarikan pelancong," katanya.
##

Tiada ulasan: