6 September 2009

Analisis: BN mungkin tidak lagi berputih mata

[Berita Minggu - 06/09/09]
Oleh Ahmad Naim Tahir
bhnews@bharian.com.my
SELEWAT-LEWATNYA 60 hari lagi - selepas setahun setengah membuat pilihan terdahulu - pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang akan mengundi lagi untuk memilih wakil rakyat baru menggantikan Allahyarham Azman Mohd Noor, 54, yang kembali ke Rahmatullah, petang kelmarin.
Kematian Naib Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang itu memerlukan satu lagi pilihan raya kecil diadakan, yang kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Mac 2008 dan dianggap pemerhati politik sebagai kritikal dalam konteks mengukur sokongan kepada parti pemerintah dan pembangkang.
Pilihan raya kecil berkenaan adalah yang kedua bagi kerusi disandang Umno selepas Parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu yang menyaksikan harapan penyandang mengekalkan penguasaannya di situ berkecai di tangan Pas. Daripada lapan pilihan raya kecil sebelum ini, hanya satu dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Batang Air di Sarawak, manakala selebihnya oleh Pas di Permatang Pasir, Manek Urai, Bukit Gantang dan Kuala Terengganu serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh sebelum menang percuma di Penanti.
Kritikalnya keputusan di Bagan Pinang kerana ia akan menjadi penanda sama ada momentum kecenderungan sokongan pengundi kepada pembangkang masih berterusan atau keputusan sebelum ini sekadar nasib kerana pilihan raya kecil berlangsung di kubu kuat mereka atau kerusi dengan sokongan seimbang.
Secara tradisinya, Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah kubu kuat Umno dan bersama DUN Linggi yang juga kerusi Umno, terselamat daripada tsunami politik, Mac tahun lalu yang menyaksikan baki tiga lagi DUN dan kerusi Parlimen itu sendiri, semuanya diwakili MCA atau MIC jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Lawan tradisi Umno di Bagan Pinang ialah Pas, mengambil kira jumlah pengundi Melayu yang mewakili hampir 70 peratus daripada keseluruhan 14,192 pemilih berdaftar, India 20 peratus pengundi dan bakinya pengundi Cina boleh menjadi penentu.
Pada pilihan raya umum lalu, Azman yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang menang kerusi terbabit selepas memperoleh 6,430 undi untuk menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.
Bagi yang biasa dengan politik Negeri Sembilan, Umno Teluk Kemang adalah antara bahagian paling stabil dan tidak banyak kerenah - terima kasih kepada ketuanya, Tan Sri Mohd Isa Samad yang satu waktu yang panjang juga, sinonim dengan Umno Negeri Sembilan.
Faktor perpaduan yang amat utuh dalam bahagian itu pasti memberi kelebihan kepada Umno dalam menghadapi pilihan raya kecil terbaru ini nanti, disokong pula pengaruh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang masih kuat melekat di hati masyarakat setempat - baik Melayu, India atau Cina.
Jika benar pun dakwaan beliau berkonflik dengan penggantinya bagi kerusi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ia tidak pernah ditunjukkan secara terbuka oleh kedua-dua tokoh itu, sebaliknya seperti biasa boleh berbual mesra jika bertembung di mana-mana. Menurut pemerhati politik setempat, Umno tidak akan berdepan masalah besar mengekalkan kerusi itu, tetapi dengan syarat - memilih calon yang benar-benar bersih dan dapat memberi jaminan menyelesaikan isu tempatan.
Antara isu yang paling diberi perhatian ialah pembinaan sebuah sekolah menengah baru yang sehingga kini belum jadi kenyataan walaupun khabarnya tapak untuk itu sudah tersedia, menyelesaikan isu penggredan dan pangkat guru serta hal berkaitan kebajikan anggota tentera yang ramai bertugas di kem sekitar Bagan Pinang.
Pembangkang pula, seperti biasa dijangka menggunakan isu yang boleh memberi kelebihan kepada mereka, termasuk kenaikan harga petrol, tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam kerajaan dan apa saja sehinggalah serangan peribadi untuk cuba menawan kubu kuat Umno itu.
Dalam soal calon, beberapa nama sudah disebut-sebut untuk pertimbangan, termasuk Ketua Wanita Umno bahagian, Rohani Yaacob, malah mungkin juga legasi Mohd Isa melalui anak lelakinya, Mohd Najib, 33, yang kini Naib Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan.
# Rencana

Tiada ulasan: