20 September 2009

Lagi cerita Samy...

[Utusan - 20/09/09]
Awang sedikit lega dengan kenyataan Presiden MIC, S.Samy Vellu yang akan memohon maaf secara peribadi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu perwakilan parti itu menghina mantan Perdana Menteri. Sesungguhnya, ucapan perwakilan MIC Paya Besar, M. Sukumaran yang mencadangkan agar gambar Dr. Mahathir dikalung selipar sebagai melampau, biadap dan tidak boleh didiamkan.
Meskipun ada pemimpin UMNO mengkritik keras beliau sebelum ini tetapi ia tidak sampai kepada tahap mahu mengkalungkan selipar. Maka tindakan MIC menggantung keahlian Sukumaran dan setakat perwakilan itu memohon maaf menerusi media, belum memadai. Membiarkan isu ini berlalu tanpa penyelesaian yang disulam dengan kemas dan baik, hanya akan mengundang pelbagai masalah, persepsi dan sentimen liar kemudian hari.
Kesannya nanti bukan setakat kepada Sukumaran malah kepada imej MIC. Parti itu akan dilihat sebagai biadap, tidak mengenang budi dan yang mungkin lebih buruk akan terus dibenci.
Dalam hubungan ini, Awang merasakan Samy sebagai peneraju MIC patut mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Jika dihalusi, ucapan beberapa perwakilan yang mengkritik keras Dr. Mahathir pada perhimpunan itu sedikit sebanyak terikut sentimen yang dicorakkan oleh Samy.
Disebabkan tidak boleh menerima pandangan negarawan itu yang menyokong bekas Timbalan Presiden MIC, S. Subramaniam bagi pemilihan jawatan berkenaan selain komen bahawa Samy sudah terlalu lama dan wajar berundur, Dr. Mahathir dibidas oleh Presiden MIC.
Malah Samy menuduh Dr. Mahathir tidak melakukan apa-apa bagi membantu kaum India sepanjang menjadi Perdana Menteri. Bukankah Samy yang memainkan sentimen itu?
Alasan Samy Dr. Mahathir tidak boleh campur tangan dalam urusan MIC. Awang tidak melihat ia sebagai campur tangan. Sebagai bekas Pengerusi BN dan Perdana Menteri, tidak salah Dr. Mahathir memberikan pandangannya. MIC bukan parti yang berdiri atas entiti sendiri, ia adalah komponen BN. Apa yang disuarakan oleh Dr. Mahathir sememangnya ada asas dan beliau membawa suara rakyat yang mahukan Samy berundur. Sepatutnya Samy dan segelintir perwakilan MIC tidak harus emosional.
Dr. Mahathir bukan sahaja mengkritik MIC, parti-parti komponen lain termasuk pemimpin UMNO juga tidak terlepas daripada kritikan beliau. Sama ada kritikan itu betul atau salah, biarlah rakyat menilai dan mengapa perlu marah.
Satu lagi persoalan, apakah benar Dr. Mahathir tidak berbakti kepada kaum India seperti yang didakwa oleh Samy? Sudah tentu jawapannya tidak benar. Ramai yang tahu bahawa di zaman kepimpinan beliaulah, peningkatan ekonomi dan sosial masyarakat India begitu ketara. Makin ramai orang India berjaya dalam pelbagai bidang profesional antaranya guaman dan perubatan. Rumah ibadat untuk kaum India juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Namun kerajaan tidak boleh memuaskan kehendak semua kaum. Jangan lupa bahawa lebih ramai orang Melayu di Semenanjung dan bumiputera di Sabah dan Sarawak yang miskin dan keciciran, jauh lebih besar jumlahnya seperti yang disahkan menerusi Laporan UNDP.
Awang sempat meneliti banyak keratan akhbar lampau. Satu demi satu Awang terbaca pujian Samy terhadap sumbangan Dr. Mahathir. ''MIC akan sentiasa mengenang jasa Dr. Mahathir," itulah antara kenyataan beliau pada 2003 berhubung campur tangan Dr. Mahathir ketika itu bagi menyelesaikan isu gaji bulanan pekerja ladang dan membina semula sekolah Tamil yang usang.
Sepanjang menjadi Menteri kabinet, semua orang tahu bagaimana Samy selalu dipertahankan oleh Dr. Mahathir dalam isu-isu tertentu, walaupun ramai mencebik muka tanda tidak setuju. Strategi Mahathir memperkasakan Samy juga boleh dilihat sebagai tanda beliau menyokong MIC dan masyarakat India.
Ramai juga yang senyum sinis apabila melihat aksi Samy yang kerap menyuap juadah ke mulut Dr. Mahathir pada majlis perayaan dan mengalungkan bunga malai termasuk pada setiap kali malam keputusan pilihan raya umum. Apakah Samy sudah menjadi kacang lupakan kulit bahkan sengaja menafikan sumbangan Dr. Mahathir?
Tetapi Samy belum terlewat. Pintu kemaafan masih terbuka. Sewajarnya beliau menemui negarawan itu meskipun Dr. Mahathir telah mengulangi kritikannya kelmarin dengan menyatakan Samy menjadi liabiliti kepada BN. Setidak-tidaknya apabila Samy bersara, beliau akan dihormati oleh ahli-ahli parti komponen BN. Jangan lupa Samy lebih banyak musuh terutama dalam politik MIC itu sendiri dan karisma serta jasa beliau tidaklah sebesar apa yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir.
Dalam pada itu, Awang agak terkejut apabila Samy menyatakan beliau telah membincangkan dengan Perdana Menteri pada Jun lepas berhubung pelan persaraannya. Apakah Najib merestui pelan itu? Pada Awang, kalau boleh usahlah kaitkan Perdana Menteri. Lebih baik beliau mengumumkan sahaja pelan persaraannya, yang lagi cepat lagi baik.
- Awang Selamat

Tiada ulasan: