20 September 2009

Samy Vellu bukan lagi 'jaguh' kaum

[Utusan - 20/09/09]
KUALA LUMPUR 19 Sept. - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu terus menerima tekanan apabila diminta meletak jawatan oleh beberapa pemimpin parti itu yang melihat beliau bukan lagi 'jaguh' bagi kaum India di negara ini.
Naib Presiden MIC, Datuk S.K Devamany berkata, Samy Vellu perlu meletak jawatan kerana beliau menjadi liabiliti kepada MIC dan juga Barisan Nasional (BN) selepas hilang kepercayaan daripada sebahagian besar masyarakat India.
"Samy Vellu patut meletak jawatan bukan sebab beliau terlalu lama menjadi Presiden, tetapi memandangkan beliau kini menjadi liabiliti kepada parti setelah rakyat melihatnya bukan lagi 'jaguh' bagi kaum India," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada BN pada pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya gagal.
Dr. Mahathir bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan parti itu akan menjadi mangsa kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MIC, Datuk V.K.K Teagarajan menyokong kenyataan Dr. Mahathir yang mahu Samy Vellu meletak jawatan dalam MIC.
"Samy Vellu telah membuat MIC dan kaum India di negara ini hancur. Jadi, sudah sampai masanya beliau meletak jawatan dan keluar dari BN," ujarnya.
##

Tiada ulasan: