29 Oktober 2009

Anwar diminta perjelas 'rahsia'

[Utusan - 29/10/09]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil segera menjelaskan 'rahsianya' seperti diperkatakan beberapa individu kebelakangan ini.
Kata Mohd. Puad, penjelasan itu perlu kerana rakyat berhak mengetahuinya memandangkan beliau merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
"Semua orang kini tertanya-tanya mengenai Anwar, jadi 'rahsia' beliau perlu diketahui umum sama ada dari segi moral, kekayaan, peribadi ataupun rahsia perjalanan politiknya.
"Individu seperti Datuk Seri Hadi Awang (Presiden Pas), Ezam Mohd. Noor (Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan), Datuk S. Nallakarupan (bekas sahabat baik Anwar) atau Anwar sendiri harus segera menjelaskannya," katanya di sini.
Baru-baru ini, Ezam dan S. Nallakarupan mendakwa mereka mengetahui 'rahsia' Anwar tetapi masih belum bersedia mengemukakannya.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Hadi dan beberapa pemimpin Pas turut mengetahui rahsia Anwar itu tetapi tidak mendedahkannya demi kepentingan politik pembangkang.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Puad memberitahu, krisis dalaman Pas semakin ketara kini apabila perpecahan itu mula bersifat kenegerian.
##

Tiada ulasan: