29 Oktober 2009

Anuar: Jeffrey mangsa monopoli kuasa 3A

[Utusan - 29/10/09]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - "Jeffrey Kitingan merupakan antara mangsa monopoli kuasa pemimpin 3A Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ramai lagi akan kecundang," dakwa Anuar Shaari, bekas Setiausaha Sulit, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anuar berkata, ini kerana pengaruh Jeffrey sebagai Naib Presiden PKR tidak disenangi salah satu atau kesemua tiga pemimpin serangkai tersebut - Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Anwar dan seorang lagi Naib Presiden, Azmin Ali.
Jelasnya, menjadi amalan Anwar, Azizah serta Azmin untuk mencantas kedudukan mana-mana pemimpin PKR yang meningkat naik kerana ketiga-tiga mereka berhasrat memanjangkan kesinambungan penguasaan 3A itu di pucuk kepimpinan parti.
"Ini bukan cerita baru, sebelum ini Datuk S. Nallakaruppan, Datuk Zaid (Ibrahim), Ezam dan termasuk saya antara yang menjadi mangsa paksi kekuasaan 3A itu.
"Ketiga-tiga (Anwar, Azizah dan Azmin) itu sama ada secara langsung atau halus akan memastikan para pemimpin berpotensi dalam parti dicantas segera," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anuar berkata demikian sebagai mengulas tindakan drastik Jeffrey meletakkan kesemua jawatannya dalam PKR semalam, kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan tertinggi parti melayan kehendak PKR Sabah sejak sekian lama.
Jeffrey yang meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden, ahli Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak serta ahli Majlis Tertinggi (MT) PKR bagaimanapun kekal sebagai ahli biasa.
Anuar menambah, tindakan PKR menubuhkan Majlis Integrasi Nasional bagi Sabah dan Sarawak pada Ahad lalu merupakan usaha halus Anwar untuk 'melambakkan' mana-mana pemimpin yang difikirkan mampu menggugat kekuasaan 3A berkenaan.
Katanya, Anwar terpaksa mewujudkan organisasi baru dalam parti itu demi memberikan jawatan-jawatan kepada para pemimpin berpotensi tersebut bagi mengabui mata mereka.
"Pemimpin seperti Datuk Dr. Tan Kee Kwong dan Datuk Chua Jui Meng yang dilihat boleh mengancam struktur kepimpinan negeri akan ditawarkan menganggotai majlis ini," jelasnya.
##

Tiada ulasan: