29 Oktober 2009

Pembangkang iktiraf DUN – MB

[Utusan - 29/10/09]
IPOH 28 Okt. – Kehadiran wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini secara tidak langsung menunjukkan mereka mengiktiraf Datuk R. Ganesan sebagai Speaker yang sah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mereka pada masa menandatangani kehadiran masing-masing untuk sidang tersebut dan duduk di kawasan pembangkang.
Beliau berkata, pada masa sama, pembangkang sengaja membuat kecoh dan ‘membentangkan bajet’ sewaktu sidang ditangguhkan selama sejam semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan oleh Speaker.
‘‘Mereka sengaja tunggu untuk masuk sewaktu sidang dewan ditangguhkan. Mereka buat kecoh kerana tahu tempoh itu dianggap tidak bersidang dan Speaker tidak boleh ambil apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2010 kerajaan negeri Perak pada Sidang DUN di sini hari ini.
Zambry berkata, pembangkang sedar kehadiran mereka itu dapat mengelakkan diri daripada dikenakan sebarang tindakan tegas seperti digantung menghadiri sidang Dewan akan datang.
‘‘Dulu Datuk Ngeh Koo Ham kata tak nak datang dan ia disokong oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Saya sudah beritahu kepada anda semua bahawa mereka pasti datang sidang DUN.
‘‘Cuma hari ini bezanya mereka hendak tunjukkan drama yang baru supaya dirakam dan dilihat kononnya mereka ditarik, dihalang malah dicekik oleh polis. Mereka perlu ‘mendramakan’ watak-watak itu,” katanya.
Sementara itu, Zambry juga dapat menjangkakan bahawa pembangkang akan terus berdrama selepas ini dengan mencabar kewibawaan kerajaan negeri ke mahkamah.
Katanya, selepas belajar daripada pengalaman lalu, pembangkang hari ini didapati tidak terlalu agresif sebagaimana yang berlaku pada sidang dewan lepas.
‘‘Dulu mereka begitu biadab dengan menyerang kita sampai tahap luar batasan dan naik atas meja. Apabila masyarakat tidak suka dengan perangai itu, kali ini mereka cuma menjerit-jerit sahaja.
‘‘Saya seperti biasa sentiasa senyum terhadap mereka. Malah Nizar bersalaman dengan saya dan sempat ambil gula-gula Hacks saya,” katanya.
##

Tiada ulasan: