30 Oktober 2009

Lima kaedah percepat proses pembangunan desa

[BH - 30/10/09]

MUHYIDDIN dan Shafie bersama pemenang Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan dari Kampung Kilim Langkawi, Kedah pada majlis penutup dan penyampaian anugerah di Kampung Mawai Baru Kota Tinggi, semalam.

******

KOTA TINGGI: Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan lima kaedah, termasuk penggubalan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional untuk memper-cepatkan proses pembangunan desa di seluruh negara.Timbalan Perdana Menteri berkata, pelan itu perlu kerana usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) melancarkan program Pelan Tindakan Desa tahun lalu, berjaya mengubah paradigma dan pendekatan dalam membangunkan komuniti desa.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyarankan supaya KKLBW mengambil langkah pragmatik untuk memantapkan program berkenaan supaya liputan pelaksanaannya diperluaskan ke semua kampung di seluruh negara dengan kadar segera.

"KKLBW perlu menggubal satu Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar Nasional yang menyediakan hala tuju, strategi dan dasar pembangunan luar bandar secara komprehensif, termasuk Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira pelan tindakan daerah dan pelan tindakan desa meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan.

"Selain itu, menstruktur semula sistem perancangan desa pada peringkat daerah di mana Pejabat Daerah mengambil kira Pelan Tindakan Desa yang dihasilkan oleh penduduk kampung dalam perancangan pelan pembangunan daerah masing-masing bagi memastikan kejayaan yang dirangka penduduk, "katanya pada majlis penutup dan menyampaikan Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2009 di Kampung Mawai Baru, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.Muhyiddin berkata, kaedah ketiga ialah membentuk Kumpulan Pembimbing Pelan Tindakan Desa daripada kalangan masyarakat kampung seperti guru sekolah, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), pesara kerajaan, ahli perniagaan dan individu yang berpotensi untuk menjadi pembimbing dalam pembentukan Pelan Tindakan Desa.

"Selain itu, meningkatkan sinergi antara institusi pengajian tinggi (IPT) dengan KKLBW bagi membolehkan mahasiswa merangka pelan komprehensif bagi manfaat semua rakyat luar bandar serta kaedah terakhir dengan melakukan pembangunan modal insan terutamanya pendidikan awal kanak-kanak di luar bandar," katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan Multaqa Guru Agama Kerajaan Negeri Johor dan Mesyuarat Agung Persatuan Kebangsaan Guru-guru Agama Malaysia Barat (KGGUMB) cawangan Johor di Dewan Jubli Intan, di sini petang semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mendaftarkan sekolah agama rakyat dan sekolah menengah agama negeri di Johor sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dengan pendaftaran sebagai SABK, sekolah agama akan menikmati bantuan modal bagi pembangunan fizikal, menerima guru terlatih, mengekalkan kurikulum Azhari, pengekalan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan guru menikmati skim saraan setimpal dengan kelulusan dan pengalaman.

"Saya berharap sekolah agama rakyat dan sekolah menengah agama negeri di negeri ini dapat didaftarkan segera untuk menikmati kemudahan berkenaan dan ia adalah lambang komitmen ikhlas kerajaan bagi memartabatkan pendidikan Islam di negara ini," katanya.

Berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Besar Felda Sungai Mas, di sini, pula Muhyiddin menegaskan kerajaan tidak akan mengabaikan, malah terus meningkatkan usaha membawa pembangunan, termasuk ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata, meskipun pembangunan dalam pelbagai bidang sudah dilaksanakan oleh kerajaan, namun ramai lagi yang dahagakan pembangunan dan memerlukan sokongan daripada kerajaan untuk menikmati lebih banyak pembangunan.

##

Tiada ulasan: