30 Oktober 2009

'Tangan sulit' punca krisis Pas

[Utusan - 30/10/09]
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kemelut dalaman yang melanda pucuk pimpinan Pas berpunca daripada percaturan politik oleh 'tangan sulit' rakan parti itu dalam pakatan dan bukannya disebabkan UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sehubungan itu menegaskan, Pas tidak sepatutnya menyalahkan UMNO kerana ramai sedia maklum siapa yang menjadi punca krisis dalaman membabitkan pucuk pimpinan parti tersebut.
"Bukan UMNO dan idea kerajaan perpaduan yang menjadi faktor utama masalah dalaman Pas. Siapa sebenarnya 'di belakang' semua ini yang menjadi punca. Rakan dalam pakatan mereka juga.
"Jadi tidak timbul sebenarnya alasan, kenapa UMNO yang hendak dipersalahkan ekoran perpecahan yang berlaku di kalangan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pas yang menyalahkan UMNO dan idea kerajaan perpaduan, ekoran konflik dalaman terbaru selepas Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan Muktamar Agung Khas (EGM).
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Pas, kerana cuba menjadikan UMNO dan idea tersebut sebagai 'kambing hitam' sedangkan menurut beliau perkembangan semasa menunjukkan berlaku pertembungan kepentingan antara Nik Abdul Aziz dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mohd. Shafie bagaimanapun enggan mendedahkan siapa yang menjadi 'tangan sulit', sebaliknya beliau berkata, masyarakat mampu melihat dengan sendiri siapa individu yang dimaksudkan.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memberitahu, UMNO tidak perlu menari mengikut rentak Pas yang kini tertekan dan terdesak akibat kesilapan mereka sendiri.
"Biarlah Pas berdepan dengan kemelutnya. Kita tidak perlu terikut-ikut dengan rentak mereka," jelasnya.
Menurut beliau, apa yang penting ialah, UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan usaha membangun dan memajukan negara agar semua lapisan rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup.
Katanya, masyarakat kini telah matang dalam menilai siapa yang layak memimpin mereka.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim meminta Pas supaya berhenti melibatkan UMNO dalam pergeseran politik dalam mereka.
Beliau yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menegaskan UMNO tiada kena-mengena dengan masalah dalaman Pas.
##

Tiada ulasan: