23 November 2009

Anwar terus dibuai mimpi

Utusan(Rencana) - 23/11/09
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
GAYA kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin diterima oleh rakyat telah meletakkan parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam keresahan.
Atas sebab itulah dari sehari ke sehari ada sahaja perkara yang cuba ditimbulkan oleh Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menunjukkan kononnya mereka berupaya menumbangkan Barisan Nasional dan Najib pada pilihan raya akan datang.
Selepas mengisytiharkan 'perang' ke atas Najib ketika berucap pada Konvensyen PKR Selangor 15 November lalu, terbaru Anwar dengan penuh angkuh menyatakan, jika pada pilihan raya umum lalu, Kuala Lumpur menjadi milik pembangkang kini sasaran mereka ialah Putrajaya - pusat pentadbiran negara.
Nampaknya Anwar tidak pernah berputus asa untuk "terus bermimpi di siang hari", selepas impian bagi menubuhkan kerajaan pada 16 September tahun lalu hanya tinggal impian. Anwar membuat kenyataan bahawa pembangkang akan mampu memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang kerana menyedari sokongan rakyat kepada mereka tidak lagi sekukuh seperti mana Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Rakyat semakin menerima kepimpinan Najib dan kembali yakin bahawa BN adalah satu-satunya kerajaan yang mampu memberikan kesejahteraan kepada mereka. Malah gagasan 1Malaysia: "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" telah menjadi pemusnah bagi menghapuskan "virus-virus" yang dibawa oleh pembangkang bagi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada BN.
Atas sebab itulah pada wawancara dengan Mingguan Malaysia, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menegaskan, situasi politik negara kini lebih tenang, sentimen umum dan kepercayaan orang ramai telah mula kembali menyebelahi kerajaan.
Inilah keadaan yang tidak disenangi oleh pembangkang terutamanya Anwar yang sememangnya bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau bimbang jika keyakinan rakyat kepada kerajaan pulih, maka musnahlah segala agenda politik mereka untuk berkuasa.
Anwar terlupa bahawa kegagalan BN untuk mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan tiga buah negeri (tidak termasuk Kelantan) kepada pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukanlah satu penolakan oleh rakyat kepada BN.
Sebaliknya, ia sekadar satu undi protes selepas rakyat kecewa dengan pentadbiran BN ketika itu yang dilihat tidak memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.
Dalam kata mudah, pembangkang hanya bernasib baik untuk menang kerana rakyat yang berhasrat bagi mengajar BN dikatakan 'terlebih ajar'.
Kini rakyat sudah menyedari kesilapan mereka dan melihat pakatan pembangkang yang sebelum ini sentiasa sahaja menganggap diri mereka lebih baik daripada BN ternyata lebih buruk perangainya apabila diberi kuasa.
Kekalutan yang berlaku di Kedah, Perak (bagi tempoh 11 bulan) dan Selangor sudah menjadi bukti perkara itu.
Semua ini sebenarnya meresahkan Anwar. Dan ia ditambah pula dengan ramalan banyak pihak bahawa seandainya pilihan raya diadakan sekarang, BN bukan sahaja akan berupaya mendapat kembali majoriti dua pertiga di Parlimen malah akan merampas kembali negeri yang jatuh kepada pembangkang.
Ini belum lagi termasuk ramalan yang mengatakan, jumlah kerusi pembangkang dalam Parlimen akan merosot teruk berikutan kegagalan ahli-ahli Parlimen terutamanya daripada PKR menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing selepas pilihan raya.
Oleh itu mahu tidak mahu Anwar harus melakukan 'lakonan politik' bagi menggambarkan seolah-olah, biarpun Najib kini menerajui BN namun kekuatan pembangkang tidak pernah luntur.
Mungkin bagi penyokong tegar Anwar yang sentiasa menyanjung beliau semakin seorang pemimpin yang hebat, mereka begitu gembira dengan kenyataan terbaru Anwar bahawa pembangkang akan menguasai Putrajaya. Tetapi bagi sebahagian penyokong pembangkang sendiri terutamanya dalam Pas, mereka akan menyifatkan apa yang dikatakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu hanyalah 'omong kosong'.
Anwar pernah meletakkan negara dalam keresahan melalui "mimpi 16 September" yang tidak menjadi kenyataan. Oleh itu beliau tidak akan mampu 'memperdayakan' rakyat dengan mimpi keduanya.
Apatah lagi sehingga ke hari ini, bukan sahaja di kalangan sebahagian penyokong pembangkang malah di peringkat pemimpin pun mereka tertanya-tanya mengenai nasib Anwar apabila kes dakwaan liwat pembantunya berlangsung di mahkamah.
Sudah ada tafsiran di kalangan mereka bahawa segala gerakan politik yang Anwar lakukan sekarang semata-mata bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kes tersebut.
''Sebab itulah dari semasa ke semasa kita lihat ada sahaja isu yang dibangkitkan oleh Anwar sejak kebelakangan ini. Ia termasuklah pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melantik Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor dengan gaji RM1.
''Semua ini adalah manuver politik Anwar dan PKR bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap segala kepincangan yang berlaku dalam parti itu serta kes peribadi melibatkan Anwar," kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi.
Menurut pemimpin muda itu, jika Anwar mahu rakyat meyakini pembangkang, beliau harus memastikan kesnya diselesaikan segera di mahkamah dan bukannya dilihat berusaha melengah-lengahkan kes itu dari semasa ke semasa.
''Sikap Anwar yang dilihat melengahkan kes tersebut mengakibatkan di kalangan penyokong pembangkang sendiri tertanya-tanya, apa sebenarnya Anwar hendak sembunyikan. Kalau beliau tidak bersalah, maka beliau tidak perlu takut untuk berhadapan dengan Mohd.Saiful Bukhari Azlan.
''Malah keberanian Anwar untuk membiarkan kes itu dibicarakan akan meningkatkan keyakinan rakyat kepada beliau tetapi keadaan yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, Anwar dilihat cuba mengelak daripada kes itu dibicarakan," katanya.
Seperkara lagi, selain impian untuk menguasai Putrajaya, Anwar juga memahami bahawa di dalam pembangkang sendiri terutamanya Pas, terdapat penolakan untuk mewujudkan sistem dua parti di negara ini.
Tetapi Anwar tetap beria-ia menyatakannya seolah-olah sistem itu dipersetujui oleh semua parti pembangkang.
Penulis difahamkan, sebahagian besar pemimpin Pas menentang cadangan berkenaan kerana jika sistem itu diwujudkan, ia bererti semua parti pembangkang akan bertanding dengan satu lambang dan satu manifesto.
''Jika itu berlaku bagaimana dengan perjuangan Islam dibawa oleh Pas, apakah PKR dan DAP akan bersetuju meletakkannya dalam manifesto pembangkang?
"Selain itu bagaimana pula dengan kedudukan orang Melayu yang turut menjadi perhatian Pas?
"Sebab itulah di dalam Pas sebahagian besar pemimpinnya menentang cadangan sistem dua parti ini kerana ia tidak akan menguntungkan umat Islam dan orang Melayu," kata seorang lagi pemimpin Pas daripada golongan ulama ketika dihubungi.
Berdasarkan apa yang diperkatakan adalah jelas, Anwar masih terus bermimpi untuk menguasai kerajaan pusat. Cita-cita beliau untuk menjadi pemimpin utama negara ternyata tidak pernah berkubur, biarpun pada dirinya dan pakatan pembangkang berlumuran dengan pelbagai masalah.
Namun apa yang diharapkan rakyat akan dapat berfikir dengan tenang dan tidak terpengaruh dengan sandiwara, lakonan dan manuver politik yang cuba dilakukan oleh Anwar dan pembangkang yang hanya mahu berkuasa semata-mata.
Sebaliknya ingatlah pesanan Daim: ''Kepada rakyat, kita berharap mereka akan melihat aspek-aspek positif dalam perkara yang sedang dilakukan oleh Najib, aspek-aspek yang berasaskan kepentingan negara dan bukan kepentingan peribadi."
PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia.

Tiada ulasan: