22 November 2009

Bisik-Bisik Mingguan

Utusan - 22/11/09
TERLUPA yang di bawah...
Apa sudah jadi dengan kualiti jalan raya di Kuala Lumpur? Berkeretalah atau tunggang motosikal di ibu negara dan sekitarnya, anda pasti selalu terlanggar permukaan jalan raya yang tidak rata, berlubang dan bercompang-camping.
Keadaan tersebut sukar disaksikan jika menyusuri jalan-jalan yang biasa digunakan oleh pemimpin negara dan orang kenamaan (VIP) tetapi cukup ketara di laluan yang menjadi tumpuan rakyat. Jalan Genting Kelang dekat Setapak misalnya asyik berlubang dan tidak rata hampir sepanjang tahun. Banyak lagi jalan yang sibuk dengan kenderaan terutama menghubungkan ke taman-taman perumahan, berkualiti rendah.
Adakalanya Awang tidak percaya bahawa keadaan jalan-jalan seperti itu terletak di ibu negara yang mahu dijadikan bandar raya bertaraf dunia.
Bagi penunggang motosikal, ia umpama jerangkap samar, yang boleh mengakibatkan mereka terjatuh atau terlibat dengan nahas apabila cuba mengelak lubang, lebih-lebih lagi ketika hujan dan waktu malam.
Jika kita berpeluang meninjau keadaan jalan raya di Jakarta dan Bangkok, sukar untuk melihat jalan yang berlubang, tidak rata dan rosak di laluan-laluan yang penting dan sibuk.
Itu belum bercakap tentang perbandingan dengan kota Singapura, yang Awang sentiasa cuba elakkan.
Lebih aneh, kerosakan jalan biasanya berlaku setiap kali selepas kerja-kerja pengorekan permukaan jalan oleh kontraktor mewakili pelbagai agensi. Penurapan semula yang dilakukan tidak berkualiti, menjadikan jalan mudah rosak.
Sekali lagi yang aneh, ia seperti tidak dipantau oleh PBT dan jika dipantau sekalipun, ia tidak dilakukan dengan tegas. Manakan tidak, banyak laluan di lorong kiri (daripada dua lorong) sentiasa cuba dielak oleh kenderaan kerana selalu menjadi mangsa kualiti turapan buruk para kontraktor, menyebabkan pemandu bertumpu di lorong kanan. Permukaan jalan sebegitu hanya sesuai untuk kenderaan lasak pacuan empat roda. Sepatutnya kontraktor yang gagal menurap jalan dengan kemas dan baik, didenda selain ditamatkan kontrak mereka.
Berdasarkan pengamatan Awang, banyak jalan yang rosak itu terpaksa diturap secara menyeluruh oleh DBKL apabila ia semakin teruk dan berbahaya. Tetapi tidak lama selepas diturap, kerja pengorekan jalan dilakukan maka berulang lagi kerosakan.
Bayangkan berapa banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk projek membaik pulih jalan yang rosak di ibu negara? Siapa yang untung untuk projek penurapan berulang kali ini?
Bercakap tentang isu korek jalan dan kualiti jalan di bandar-bandar Lembah Klang, ia memang menyakitkan hati sejak dahulu lagi. Anak-anak remaja pun boleh bertanya kenapa sampai begitu keadaannya? Mengapa PBT kita tidak mahir menurap jalan atau gagal menjaga kualiti turapan kontraktor?
Kita mungkin berbangga dengan kepesatan fizikal Kuala Lumpur termasuk dari segi bangunan pencakar langit tetapi dalam soal pengurusan kualiti jalan rayanya, kita masih ketinggalan.
Aduan mengenai jalan rosak dan berlubang adalah antara yang terbanyak disalurkan oleh warga kota tetapi penyelesaiannya tidak ke mana. Sedangkan antara perkara paling asas untuk menilai imej sesebuah bandar raya ialah kualiti jalan rayanya.
Awang cadangkan seluruh barisan anggota Kabinet menaiki kenderaan secara konvoi mengelilingi Kuala Lumpur dan perhatikan sendiri kualiti jalan di merata pelosok. Mungkin kita asyik mendongak ke atas dan terlupa memberi perhatian kepada yang di bawah. Silakan...
Ezam, Anwar dan kisah pemimpin terlampau?
Ada seorang kenalan mengirimkan sebuah video koleksi ucapan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Nor bertajuk Hakikat Sebuah Keputusan.
Isu-isu yang dibangkitkan bukanlah terlalu baru tetapi apabila dirangkumkan dalam koleksi, ia kelihatan menarik. Awang lebih teruja dengan kandungan ucapan beliau, kesemuanya berlegar kepada isu integriti dan moral pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim.
Ezam antara lain mendedahkan soal muslihat, pembohongan dan pengkhianatan Anwar dalam banyak perkara termasuk isu kes liwat terhadap pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Beliau juga menyentuh tentang tindakannya keluar PKR.
‘‘Demi Allah, saya tinggalkan Anwar kerana prinsip saya sebagai seorang Islam yang tidak membenarkan saya terus bersamanya sebagai ketua saya. Antara Islam dan Anwar, saya pilih Islam,” kata Ezam.
Isu Anwar kini menjadi perhatian. Ia bukan setakat kes tuduhan liwat terhadap Mohd. Saiful sedikit masa lagi, bahkan tentang masa depan politiknya.
Tindakan Anwar asyik mahu menangguhkan kes mahkamah itu mencetuskan persoalan apakah beliau takut menghadapi kebenaran dan keadilan? Seorang yang mendabik dada sebagai pejuang tiba-tiba seperti tikus mahu melarikan diri. Awang percaya Anwar boleh hidu bahawa pasukan pendakwaan mempunyai bukti lebih kukuh kali ini berbanding kes liwat pertamanya dahulu.
Sebelum ini beliau diragui oleh banyak pihak kerana enggan melafazkan muhabalah atau sumpah laknat di masjid sebagaimana yang dilakukan oleh Mohd. Saiful. Anwar sebaliknya menggunakan pentas politik termasuk di luar negara bagi mempertahankan diri dan seperti biasa mendakwa menjadi mangsa konspirasi.
Selain bertarung dalam kes mahkamahnya, Anwar kini berdepan dengan kedudukan PKR yang kian goyah. Makin ramai pemimpin dan aktivis PKR keluar parti. Isu dalaman parti itu makin serius dengan menyaksikan perpecahan terutama di Sabah dan Selangor.
Khabarnya, Anwar turut resah kerana para pemimpin Pas sudah tidak bulat menyokong beliau termasuk dalam isu moral dan kes liwatnya. Selain itu, tinjauan rambang beberapa pihak mendapati sokongan rakyat dan badan bukan kerajaan Melayu (NGO) terhadap Anwar merosot. Ia ada kaitan dengan kekecewaan orang Melayu terhadap beliau yang didakwa telah menggugat insitusi Melayu selain merosakkan asas kenegaraan dan semangat perlembagaan, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
Pada masa yang sama, Ezam, Anuar Shaari, S. Nallakarupan, Lokman Noor Adam, dan puluhan lagi bekas pemimpin PKR yang telah meninggalkan parti itu kini mendedahkan hipokrasi Anwar termasuk dalam isu rasuah dan salah guna kuasa. PKR yang masih baru usianya menyaksikan paling ramai pemimpin kanannya keluar termasuk Chandra Muzaffar, tokoh yang disegani dalam dunia keilmuan.
Kerana menyedari keadaan semakin tidak memihak kepadanya, beliau bertindak sekali lagi melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Ada yang melihat ia sebagai helah Anwar untuk mengalihkan perhatian daripada kes liwatnya dan masalah PKR.
Salah satu isu dalaman ialah kritikan terhadap Anwar kerana terlalu memihak dan mendengar nasihat Naib Presiden, Azmin Ali, sehingga mengguris hati banyak pemimpin lain. Mengapa Azmin mendapat kelebihan itu, Anwar sahaja ada jawapannya.
Bukan setakat isu Azmin, banyak rahsia kepincangan Anwar, juga di tangan Ezam. ‘‘Dia tahu bahawa saya tahu...” kata Ezam.
Persoalannya apa akan jadi jika Anwar dipenjarakan kerana didapati bersalah dalam kes liwatnya? Seandainya itu berlaku beliau akan terlingkung dalam kisah pemimpin terlampau yang terpahat dalam sejarah. Awang melihat masa depan politik beliau kian suram jika beliau tidak dihadapkan ke mahkamah sekalipun. Sesungguhnya, Anwar sudah mula terhukum dengan sendiri. Sudah banyak petunjuk, yang satu demi satu menyerlahkan kebenaran. Realitinya, persekitaran dan kesedaran rakyat ternyata makin tidak menyebelahi beliau. Sehebat mana beliau merancang ia tidak akan mengatasi perancangan Allah. Anwar tentu tahu dan Wan Azizah Wan Ismail, isterinya yang juga Presiden PKR, pasti lebih tahu. Mungkin ada kepincangan yang Wan Azizah juga tahu tetapi tidak terlerai, sekadar tersimpul dalam senyuman manisnya.
/...

Tiada ulasan: