22 November 2009

Rakyat kembali yakin kepada kerajaan

Utusan (Rencana) - 22/11/09
KEPUTUSAN pilihan raya lalu jelas menunjukkan berlakunya penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN, adakah Tun berpendapat apa yang dilakukan oleh Najib mampu memulihkan kembali sokongan rakyat?
DAIM: Keputusan pilihan raya lalu bukan penolakan BN oleh rakyat Malaysia. Apakah sebab utama perubahan pendapat di kalangan pengundi? Dr. Mahathir, dialah faktor utama di sebalik perubahan keputusan para pengundi.
Dr. Mahathir dengan secara terbuka dan tegas membangkitkan isu Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Apabila Dr. Mahathir, seorang tokoh politik yang terus dihormati oleh kebanyakan rakyat Malaysia menyuarakan ketidakyakinan beliau terhadap kepimpinan BN, ia suatu hentaman kuat bagi kerajaan semasa.
Ramai para pengundi berasa hampa. Para pengundi yang ingin mengundi, terus mengundi parti lain daripada parti-parti komponen BN. Itulah situasi di Kedah dan Perak. Negeri-negeri di mana BN ditewaskan bukanlah swing states. Mereka hanya mengikut jejak langkah pemimpin iaitu Dr. Mahathir. Jika ada pertentangan pendapat di dalam golongan UMNO, hasilnya tak akan begitu di negeri-negeri tersebut. Kenapa Johor masih kekal dipegang oleh BN? Sebab Johor mempunyai ramai pemimpin taraf nasional yang masih berpengaruh dan berwibawa.
Keputusan pilihan raya lalu adalah kenyataan para pengundi yang selama ini menyokong BN terhadap kegagalan Pengerusi BN pada masa itu menangani hubungannya dengan Dr. Mahathir. Kerana itu UMNO dihentam paling teruk. Parti komponen lain seperti MCA dari dahulu adalah parti untuk para pengundi bandar dan tidak pernah menonjol. Selangor dan Perak jatuh kerana faktor ini. Pada masa yang sama para pengundi generasi muda yang memperolehi faedah dari era Dr. Mahathir dengan tiba-tiba merasakan diri mereka terkandas tanpa pemimpin. Mereka yang tidak suka kepada Dr. Mahathir memang tidak menyokong UMNO dan BN, tetapi mereka yang terus mengikuti dan menghormati Dr. Mahathir terus membandingkan Abdullah dengan Dr. Mahathir.
Akhirnya golongan pengundi muda ini mengundi parti apa saja atau siapa saja calon, asalkan ia bukan daripada komponen BN. Lain-lain sebab telah diperkatakan. BN sombong, terlalu yakin (over confident) dan tidak tunai janji dan bila hendak menghadapi pilihan raya kita jangan mencipta isu, kita mesti selesaikan isu. Ini dinaikkan harga minyak, isu video Lingam, demokrasi dibiarkan dan tidak dikawal serta perkara lain yang disebutkan tadi.
Ternyata bagi saya bahawa keputusan pilihan raya dahulu bukan penolakan terhadap BN atau UMNO secara mutlak, tetapi reaksi kepada aksi Dr. Mahathir, jika analisis ini betul, ia akan terbukti pada pilihan raya yang berikutnya.
Najib muncul daripada keruntuhan puing-puing dan serpihan pilihan raya. Masih terlalu awal untuk melihat impak penuh polisi beliau. Pendapat saya ialah beliau telah mengambil laluan betul dan kebanyakan rakyat Malaysia yang bersuara lantang mengkritik Abdullah sekarang memerhati dan meneliti situasi Najib.
Secara keseluruhan bagaimana Tun melihat senario politik negara sejak pilihan raya lepas?
DAIM: Saya bukan penganalisis politik sekadar bercakap berasaskan pengalaman. Tugas pembangkang ialah mencetuskan mood negatif supaya rakyat resah. Apabila harga petrol naik mendadak pada tahun 2006 dan 2007, pembangkang sambar peluang bagi menyemai dan menyemarakkan mood negatif dengan memberi gambaran kerajaan tidak mampu mengatasi keresahan mereka, BN jadi 'barang naik', namun mood negatif ini kian reda. Kita dapati sokongan orang Melayu dan India kepada kerajaan semakin meningkat.
Situasi politik lebih tenang sekarang, sentimen umum dan kepercayaan kepada orang ramai telah mula kembali menyebelahi kerajaan. Berhubung dengan polemik yang ditimbulkan oleh pembangkang, ia bukan perkara baru. Polemik mereka berasaskan isu-isu lama termasuk isu golongan etnik dan agama. Tidak ada isu baru yang dikemukakan oleh parti pembangkang. Membuat tuduh korupsi dan pemborosan wang terhadap kerajaan sebelumnya? Ini semua bukan perkara baru.
Perkara-perkara dan isu-isu ini akan terus hidup buat kepentingan ahli politik. Tanpa isu-isu begini, parti pembangkang tidak akan hidup lama. Polisi apakah yang telah ditukar atau diubah-ubah umpamanya di negeri Selangor? Malah BN (kini di pihak pembangkang) lebih menentang polisi mereka yang terdahulu! Ini yang memberikan warna-warni politik dalam kehidupan masyarakat umum. Kadang-kala ahli politik adalah umpama badut jadi biar mereka berkelakuan sedemikian untuk menghiburkan masyarakat. Lihat mereka di kaca televisyen, terdapat mereka yang pernah menduduki kerusi tertinggi namun sekarang berada di pihak pembangkang dan mengkritik apa yang telah mereka lakukan sebelum ini di dalam kerajaan.
Apakah harapan Tun kepada Perdana Menteri serta rakyat negara ini?
DAIM: Terus membawa perubahan-perubahan yang positif terhadap kehidupan rakyat terutama kepada golongan miskin dan terus mencuba untuk merobohkan benteng-benteng yang menghalang perpaduan rakyat. Matlamat kita ialah mengukuhkan negara Malaysia yang berdaulat dan bermaruah yang mempunyai satu warga - warga Malaysia. Soal etnik tidak akan terhapus tetapi hadirnya biar di peringkat separa sedar (subconscious) saja.
Rasuah harus diperangi habis-habisan. Rakyat resah kerana political class terlalu berkuasa dan bijak menjana sumber kekayaan tanpa menambah nilai atau tanpa sebarang produk.
Kita harap Perdana Menteri akan sentiasa mendengar pandangan-pandangan dari bawah. Harus membuat perubahan untuk rakyat dan mesti mempunyai pandangan global yang lebih meluas.
Kepada rakyat, kita berharap mereka akan melihat aspek-aspek positif dalam perkara yang sedang dilakukan oleh Najib, aspek-aspek yang berasaskan kepentingan negara dan bukan kepentingan peribadi.
/...

Tiada ulasan: