25 November 2009

Cermin ketidaktentuan Nik Aziz

Utusan - 25/11/09
PUTRAJAYA 24 Nov. - Peletakan jawatan Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mencerminkan ketidaktentuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membuat keputusan dan pendirian.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Mursyidul Am Pas itu juga sering bersikap memilih dalam membuat keputusan yang berhubung kait kepentingan peribadinya.
Keadaan itu, kata beliau, menyebabkan bukan sahaja rakyat Kelantan malah ahli-ahli Pas sendiri keliru dengan pendirian yang diambil Menteri Besar Kelantan itu.
''Macam soal tajaan haji ke Mekah, dia kata okey, selepas itu kata tidak akan pergi tetapi pula akan terima kalau ada tajaan pada tahun depan.
''Tak tahu dia pakai hukum apa, hukum dunia Nik Aziz sendiri.
''Inilah bukti kelemahan kepimpinan Pas," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-7 di sini hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Perhutanan Negara (MPN) Ke-22.
Beliau mengulas peletakan jawatan menantu Nik Abdul Aziz semalam setelah diarahkan oleh Menteri Besar itu sendiri.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz selepas mengadakan pertemuan dengan rombongan kepimpinan tertinggi parti itu yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr. Hatta Ramli di kediaman rasminya, JKR 10 di Kota Bharu semalam.
Masalah dalaman PMBK bermula apabila enam pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai 9 November lalu.
Pada masa sama, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan untuk menunaikan haji bernilai RM65,000 yang turut disertai ahli keluarganya termasuk Abdul Ariffahmi.
Beberapa hari selepas itu, masalah dalaman PMBK menjadi bertambah parah apabila menantu Nik Abdul Aziz itu menamatkan kontrak Pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz minggu lalu.
Syed Azidi yang lebih dikenali dengan laman blognya, 'Kickdefella', pula dilihat antara orang kanan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
/...

Tiada ulasan: