25 November 2009

Namakan pengganti elak kekalutan

Utusan - 25/11/09
KOTA BHARU 24 Nov. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disaran agar menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan itu kelak.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah (gambar) berpendapat, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.
''Dengan cara ini, bakal pengganti yang dinamakan boleh dipersiapkan dari segi kepimpinan melalui bimbingan dan nasihat bagi mengukuhkan keyakinan ahli serta rakyat keseluruhannya.
''Pandangan peribadi saya ini tidak harus dilihat sebagai saya mempunyai pertimbangan lain," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri.
Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada Utusan Malaysia di sini hari ini berhubung beberapa isu yang tercetus kebelakangan ini yang menimbulkan polemik di kalangan ahli dan masyarakat.
Ini termasuk desas-desus mengenai wujudnya pergeseran di kalangan Exco dan kemelut dalam pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang seolah-olah tidak begitu terarah kepada kepentingan rakyat.
Mohd. Amar berkata, berdasarkan pengalaman Pas, sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan sebagai pemimpin akan diterima secara terbuka oleh ahli dan penyokong parti.
Beliau menegaskan, cadangan itu tidak harus disalahertikan sebagai satu gesaan.
''Cuma, saya tak ingin melihat beliau berhenti tanpa diketahui penggantinya lebih awal kerana proses itu tidak harus berlaku secara tiba-tiba.
''Bukan meminta beliau berundur, lebih baik menamakan pengganti dengan mengemukakan cadangan kepada pucuk pimpinan parti kerana itu pendekatan terbaik," ujarnya.
Mohd. Amar percaya dalam pemikiran Nik Abdul Aziz yang sudah hampir 20 tahun tahun menerajui negeri, sudah ada calon penggantinya tetapi keberatan untuk menamakannya kerana tidak mahu menjejaskan perasaan mana-mana pihak.
Beliau percaya sesiapa pun yang dinamakan oleh Nik Abdul Aziz dan kelak menerajui Pas atau kerajaan negeri, sokongan rakyat terhadap parti itu tidak akan terhakis.
"Beliau telah meletakkan Pas di landasan yang kukuh. Rakyat akan terus beri sokongan. Cuma mungkin kalau beliau berhenti sebelum masanya, rasa tidak puas hati atau reaksi berbeza mungkin wujud," katanya.
/...

Tiada ulasan: