26 Disember 2009

Anak perempuan Nik Aziz disanggah pemimpin negeri

BH - 26/12/09
KOTA BHARU: Seorang pemimpin Pas Kelantan semalam, menyanggah kenyataan anak Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Amalina, yang mendakwa pemimpin Pas negeri itu hanya berdiam diri dan membiarkan bapanya yang juga Menteri Besar, sendirian mendepani serangan terhadap parti dan kerajaan negeri diterajuinya.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron, berkata setiap minggu, pemimpin parti bersama Nik Aziz berbincang dan hasil keputusan itu, tidak semua pemimpin mengeluarkan kenyataan. "Dalam mengeluarkan kenyataan, kita (pemimpin Pas negeri) serah kepada tok guru (Nik Aziz) selepas sesuatu isu itu difikir dan dibincang secara bersama.
"Usaha Nik Amalina membela suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, yang berdepan dengan desakan supaya meletak jawatan boleh diterima kerana kedudukannya sebagai isteri," katanya ketika ditemui, semalam.
Abdul Fatah berkata, menulis di blog adalah kebebasan individu, tetapi kalau menyentuh perkara yang menyebabkan ia perlu dijawab oleh orang lain, ia perlu diambil perhatian oleh penulis terutama ahli keluarga Nik Aziz. Katanya, tindakan Amalina menuduh pemimpin Pas lain tidak membela Nik Aziz adalah salah.
Kelmarin, Nik Amalina menerusi laman blognya, mendakwa pemimpin Pas di negeri itu hanya berdiam diri dan membiarkan bapanya sendirian berdepan serangan terhadap kerajaan dan parti itu kebelakangan ini. "Kenapa harus tok guru saja yang bangun mempertahankan setiap apa yang berlaku. Bangunlah wahai pimpinan.
Tunjukkan bahawa anda bersatu, buktikan dengan tindakan, jangan hanya suara dari belakang, yang anda juga menyayangi tok guru dan sudah tentu kerajaan Islam hari ini," katanya. Abdul Fatah berkata, semua pihak sama ada pimpinan parti dan kerajaan negeri serta ahli keluarga Nik Aziz sendiri, perlu meredakan keadaan dan bermuhasabah diri bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung pergolakan dalam parti itu kebelakangan ini.
"Biarlah tok guru menyelesaikannya sama ada masalah dalaman keluarga, politik dan pentadbiran negeri," katanya.
/...

Tiada ulasan: