26 Disember 2009

Pas Kelantan tolak YB import

BH - 25/12/09
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
Wakil rakyat bukan anak tempatan diminta bertanding di negeri masing-masingKOTA BHARU: Pemimpin Pas Kelantan kini sependapat, sudah tiba masanya Ahli Parlimen 'import' parti itu, kini dieksport kembali bertanding di negeri masing-masing pada pilihan raya akan datang, sekali gus membolehkan semua kerusi negeri itu diwakili anak tempatan.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, berkata Pas negeri akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu selaras kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kelmarin, yang bersedia meneliti cadangan berkenaan.
"Sebelum ini, Pas Kelantan membuat ketetapan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti diisi anak tempatan dan kini tiba masanya kerusi Parlimen juga dikembalikan sepenuhnya kepada anak Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.Mohd Zaki yang juga Timbalan Yang Dipertua DUN Kelantan, berkata berdasarkan pengalaman, semua Ahli Parlimen yang bukan anak tempatan wajar bertanding di kawasan sendiri dalam usaha memperluaskan pengaruh Pas di negeri lain.
"Kalau sebelum ini kita import calon luar, bagi saya sudah tiba masanya kita eksport mereka balik ke negeri asal untuk mengukuhkan kedudukan Pas di negeri lain. Mereka mempunyai kredibiliti dan pengalaman luas serta sudah ada nama.
"Malah semua Ahli Parlimen bukan anak Kelantan ini adalah pemimpin Pas pada peringkat Pusat, sudah tentu mereka layak bertanding di kawasan sendiri dan saya yakin pengundi dapat menerima mereka," katanya.
Antara pemimpin luar yang kini menjadi Ahli Parlimen di Kelantan termasuk Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bachok); Naib Presiden, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).
Selasa lalu, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud, mencadangkan supaya anak Kelantan diberi keutamaan dalam pemilihan calon pada pilihan raya umum akan datang.Mohamad dilaporkan mengambil contoh imam di masjid yang tentunya imam tempatan didahulukan sebelum mengambil imam dari luar bagi memikul tanggungjawab berkenaan.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebelum ini kepemimpinan parti itu di negeri ini memberi peluang kepada pemimpin terbabit bertanding di Kelantan disebabkan sokongan terhadap Pas di negeri lain kurang memberangsangkan.
"Tetapi keadaan sebarang sudah berubah, Pas semakin diterima di negeri lain, jadi mungkin mereka boleh bertanding di kawasan sendiri pada pilihan raya umum akan datang. Bagi saya, elok juga kita bagi peluang kepada anak tempatan," katanya.
/...

Tiada ulasan: