26 Disember 2009

Hasan, Khalid dipanggil lagi

UTUSAN - 26/12/09
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 Dis. - Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Timbalannya, Khalid Samad akan dipanggil Jawatankuasa Disiplin parti itu sekali lagi untuk memberi penjelasan lanjut pada 7 dan 9 Januari tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam pertemuan malam kelmarin, jawatankuasa itu berpuas hati dengan laporan bertulis yang telah dihantar kedua pemimpin tersebut tetapi memerlukan penjelasan lanjut daripada mereka.
''Kami berpuas hati dengan penjelasan bertulis itu tetapi memutuskan untuk memanggil mereka supaya memberi penjelasan lisan berhubung beberapa aspek.
''Ia merupakan prosedur di dalam Pas yang mana kita akan menerima laporan, selepas itu analisis laporan, hantar surat dan tertuduh diminta menjawab kembali surat itu.
''Kita akan teliti surat yang dijawab dan akan memanggil tertuduh sekiranya memerlukan maklumat tambahan. Selepas itu barulah tindakan akan diambil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan aspek yang memerlukan penjelasan lanjut itu.
Hasan dan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti.
Antara bukti yang diserahkan ialah rakaman audio seorang pemimpin Pas yang didakwa memperlekeh kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang.
Tuan Ibrahim menjelaskan, bentuk hukuman bergantung pada penjelasan susulan mereka.
Katanya, menurut Perkara 75 perlembagaan parti, Jawatankuasa Disiplin mempunyai tiga pilihan hukuman iaitu memberi amaran bertulis, menggantung jawatan yang disandang ataupun memecat daripada parti.
''Bagaimanapun sekiranya disabit kesalahan mereka masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Pusat parti dan Majlis Syura Ulama," katanya.
Tambahnya, setakat ini belum ada keputusan untuk memanggil saksi-saksi lain.
Beliau juga menafikan khabar angin bahawa hukuman terhadap Hasan sudah diputuskan ketika pertemuan itu kelmarin.
''Kami masih di peringkat mengkaji penjelasan mereka, jadi hukuman belum diputuskan," katanya.
/...

Tiada ulasan: