26 Disember 2009

UMNO desak dedah laporan kewangan negeri

BH - 26/12/09
Oleh ABDUL YAZID ALIAS

pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 25 Dis. - UMNO Selangor mendesak kerajaan negeri mendedahkan laporan kedudukan kewangan negeri kepada setiap wakil rakyat bagi memastikan tidak wujud masalah seperti yang didakwa.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, pendedahan itu amat penting berikutan wujudnya dakwaan kerajaan negeri gagal mencapai sasaran pendapatan yang sepatutnya.
Sebagai sebahagian daripada pembuat dasar katanya, setiap wakil rakyat tidak kira sama ada Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, mereka mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan sebenar kewangan untuk tahun semasa.
"Kita melihat dengan serius perkara ini kerana ia boleh memberi kesan terhadap rancangan pembangunan di Selangor khususnya yang melibatkan kebajikan rakyat.
"Saya yakin tidak semua wakil rakyat mengetahui kedudukan semasa kewangan negeri. Oleh itu, kita minta kerajaan negeri mendedahkan kedudukan sebenar kewangan negeri tanpa sebarang pengecualian selaras dengan prinsip ketelusan yang diuar-uarkan oleh mereka.
"Kita juga minta kerajaan negeri mendedahkan aktiviti perlombongan pasir berikutan banyak laporan mengenai kegiatan itu yang didakwa tidak memberi keuntungan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang mengaitkan masalah kedudukan kewangan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas ketika ini.
Berdasarkan laporan blog http://www.mykmu.net, kerajaan negeri didakwa menghadapi krisis kewangan yang dikira agak membimbangkan berikutan anggaran pendapatan negeri bagi tahun 2009 sejumlah RM1.4 billion tidak mencapai sasaran yang dijangkakan.
Menurut laman blog itu, sehingga 15 Oktober 2009 jumlah kutipan yang berupaya diperolehi oleh kerajaan negeri hanya RM938 juta sahaja daripada anggaran RM1.16 billion yang sepatutnya diperolehi dalam tempoh yang sama.
Malah sepanjang tahun ini juga kerajaan negeri didakwa terpaksa meluluskan dua kali tambahan hingga bajet Selangor mencecah RM1.9 billion daripada peruntukan asal bajet berkenaan iaitu RM1.4 billion.
Selain itu, laman blog berkenaan turut mempersoalkan langkah kerajaan negeri yang terlalu banyak menggunakan rizab negeri daripada pentabdiran BN lalu antara RM1.3 hingga 1.5 billion sebelum peralihan kuasa di negeri itu pada Mac 2008 untuk 'disuntik' dalam bajet Selangor 2009.
Tindakan menggunakan rizab berkenaan dilihat tidak rasional kerana kerajaan negeri sepatutnya berusaha untuk mencapai sasaran perolehan sebanyak jumlah yang disasarkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut memberitahu, langkah menggunakan rizab kerajaan negeri secara keterlaluan dilihat sebagai satu jalan mudah untuk menampung kekurangan kewangan negeri.
''Mereka bertindak demikian sebagai langkah mudah untuk menampung kekurangan peruntukan.
''Sepatutnya kerajaan negeri berusaha menambahkan rizab negeri untuk tujuan pembangunan rakyat, bukan menghabiskannya untuk tujuan-tujuan lain yang tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat seperti membeli hutang syarikat Talam Corporation berjumlah RM391 juta," ujarnya.
/...

Tiada ulasan: