24 Disember 2009

Kedatangan Islam berdasar Batu Bersurat Terengganu perlu dikaji

BH - 24/12/09
Oleh Jamudin Idris
rencanabh@bharian.com.my
KEPUTUSAN Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) mengiktiraf Batu Bersurat Terengganu di bawah kategori Daftar Memori Dunia Antarabangsa (MWIR) harus mengundang sejarawan Malaysia untuk mengkaji secara ilmiah kedatangan Islam ke negara ini berdasarkan Batu Bersurat bertarikh 4 Rejab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 itu.
Pengiktirafan itu cukup bermakna kepada negara dan wajar dilakukan kajian terperinci untuk membuktikan kedatangan Islam ke negara ini seawal 1303 kerana ada yang mengaitkan kedatangan Islam dengan kerajaan Melayu Melaka.
Kajian itu tentunya menarik jika dapat dikaitkan dengan kedatangan Islam di dunia Melayu kerana Kerajaan Samudera Pasai mendakwa kedatangan Islam di sana pada 1242 atau 1292 ketika Majapahit dan Sriwijaya masih berpegang kepada agama Hindu Buddha.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim sudah lama meminta penulisan ilmiah berkaitan kedatangan Islam dan Batu Bersurat itu dilakukan dan pengiktirafan Unesco itu sepatutnya mempercepatkan lagi penulisan mengenainya.
Apa yang penting daripada pengiktirafan itu membuktikan kewujudan tulisan jawi dalam dunia Melayu Islam di Asia Tenggara selain diharapkan wujud kesedaran kecintaan dan bangga pada warisan kita.
Rais berkata, Malaysia wajar berbangga kerana termasuk dalam kelompok 76 negara yang sudah mendapat pengiktirafan Unesco dan jumlah warisan yang sudah didaftarkan di bawah MWIR ialah 193 sehingga 2009. Ini pengiktirafan keempat yang diperoleh Malaysia selepas pengiktirafan kepada Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Surat Sultan Abdul Hamid, semua pada 2001.
Sebahagian besar pengiktirafan yang diberikan Unesco di bawah kategori MWIR ialah manuskrip dan batu bersurat. Bagi negara Islam, banyak pengiktirafan diberi berkaitan manuskrip. Rais berkata, Jabatan Warisan Negara akan terus mengenal pasti warisan lain untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) di Unesco supaya lebih banyak warisan negara dapat diketengahkan pada masa depan.
Pada Mac 2008, kementerian menerusi Jabatan Warisan Negara dengan bantuan pakar tempatan mengemukakan dua pencalonan iaitu Batu Bersurat Terengganu dan Poskad Negeri-negeri Selat untuk dipertimbangkan IAC yang bermesyuarat di Barbados pada 31 Julai lalu. Bagaimanapun Batu Bersurat Terengganu yang diterima. Ia pengiktirafan pada khazanah warisan negara berbentuk dokumentasi yang mempunyai kepentingan pada peringkat dunia.
Antara perkara yang dinilai Unesco dalam memberi pengiktirafan termasuk kerana mempunyai keunikan dan kepentingan peringkat dunia, warisan yang perlu dibuktikan keasliannya serta memenuhi salah satu kriteria yang dikaitkan sama ada dari segi masa atau zaman, tempat, masyarakat, perkara atau tema, gaya atau tatacara.
Batu Bersurat itu dari segi keasliannya, ialah satu-satunya bentuk yang ada dalam jenisnya di Asia Tenggara. Ia juga menjadi bukti utama sumber rujukan penyelidik mengenai keislaman dan ekonomi global di Asia Tenggara. Dengan keunikan dan pertama seumpamanya, Batu Bersurat Terengganu dapat dianggap mempunyai kepentingan tambahan terutama sekali dalam konteks pemahaman politik dan sejarah sosial Asia Tenggara, perubahan keagamaan dan kehidupan ekonomi masyarakatnya.
Batu Bersurat Terengganu yang mempunyai ketinggian 86 sentimeter, lebar 53 sentimeter di bahagian atas dan 24 sentimeter di bahagian bawah seberat 214.8 kilogram dijumpai seorang peniaga, Saiyed Husin Ghulam Al Bukhari pada 1902.
Beliau menyedarinya ketika sedang mengambil wuduk untuk solat Zuhur di sebuah surau di Kampung Buluh, Kuala Berang yang mana batu itu dijadikan alas kaki. Seterusnya dengan bantuan penduduk, ia dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III. Batu itu patah di bahagian atasnya (masih belum dijumpai sehingga kini) pada asalnya dijumpai selepas banjir surut di tebing Sungai Tara, Kuala Berang.
Ada beberapa pendapat mengenai tarikh sebenar ia dijumpai. Namun begitu, tarikh yang masyhur ialah pada 1887 dan 1899. Batu Bersurat itu dipinjamkan kepada Muzium Singapura pada 1923. Selepas Muzium Negara siap dibina, ia dipulangkan ke Kuala Lumpur. Apabila Kerajaan Terengganu memohon ia dipulangkan padanya pada 1987, jemaah Menteri bersetuju memulangnya pada 1991.
Sempena pengiktirafan itu, Jabatan Warisan Negara mengadakan pameran replika Batu Bersurat berkenaan di Bangunan Sultan Abdul Samad baru-baru ini. Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf; Timbalannya, Datuk Mohammad Mohd Daud dan Pesuruhjaya Jabatan Warisan, Prof Emeritus Datin Zuraina Majid.
Sementara itu, Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah, berkata pihaknya memohon pengiktirafan dibuat memandangkan manuskrip yang terkemudian diterima seperti Sejarah Melayu sudah diterima Unesco dan kerana itu Batu Bersurat Terengganu amat wajar dikemukakan. Pihaknya gembira dengan pengiktirafan itu dan ia secara tidak langsung mengiktiraf sumbangan Terengganu dan Islam selain akan menarik pelawat ke negeri berkenaan.
Penulis ialah bekas wartawan dan kini perunding media

Tiada ulasan: