24 Disember 2009

Soal utama calon tempatan bagi Parlimen akan dibincang

UTUSAN - 24/12/09
KOTA BHARU 23 Dis - Pas Kelantan yang berpendirian lebih terbuka sebelum ini akan mempertimbangkan cadangan agar anak kelahiran tempatan diberi keutamaan menjadi calon Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara yang berbangkit akan dipanjangkan dalam mesyuarat untuk diteliti tentang kewajarannya.
''Di dalam Islam tidak ada perbezaan antara orang dalam dan orang luar, bagaimana pun cadangan tersebut akan difikir dan dibincangkan semula dalam mesyuarat," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan demikian di sini hari ini ketika diminta mengulas pendapat Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Muhammad Daud.
Menurut Muhammad Daud, wajar anak tempatan diberi keutamaan dalam pemilihan calon bagi kerusi Parlimen ketika menghadapi pilihan raya umum kelak.
Muhammad dilaporkan mengambil contoh imam di masjid yang tentunya imam tempatan didahulukan sebelum mengambil imam dari luar bagi memikul tanggungjawab tersebut.
Dalam pilihan raya umum lalu, Kelantan membuka ruang kepada pemimpin Pas dari luar negeri ini untuk bertapak dengan menjadi calon-calon Parlimen.
Ini termasuk Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Parlimen Bachok), Naib Presiden, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Bendahari Pas, Dr. Mohd. Hatta Md Ramli (Kuala Krai) di samping Saifuddin Nasution Ismail (Machang) atas tiket Parti keadilan Rakyat.
Kesemua mereka yang mengisi sebahagian daripada 14 kerusi Parlimen menang dalam pilihan raya umum lalu.
Ditanya mengenai langkah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr. Rosli Allani Abd Kadir semalam ekoran isu poligami yang menjadi kes mahkamah, beliau enggan campur dalam urusan peribadi.
Bagaimanapun Nik Abdul Aziz mengajak orang ramai supaya berdoa kepada Allah supaya mana-mana pihak yang pernah 'rebah' agar berusaha untuk kembali kepada keadaan sedia kala.
''Masalah yang berlaku ikut dialah, itu masalah peribadi cuma kita berdoa kepada Allah agar orang yang tergelincir bangun semula," katanya kepada media di sini hari ini.
Ditanya mengenai desas-desus berhubung tunggakan lebih RM1 juta kos rawatan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra di Singapura, Nik Abdul Aziz enggan mengulas.
Katanya, isu tersebut terlalu peribadi untuk dihebahkan di media.
''Isu yang didakwa itu masalah rumahtangga lebih-lebih lagi membabitkan istana, kita tidak akan pergi kepada media. Lagi pun perkara tidak manis disebut-sebut kepada orang ramai," ujarnya.
/...

Tiada ulasan: