28 Disember 2009

Pas Selangor didesak keluar Pakatan

UTUSAN - 28/12/09
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 27 Dis. - Sekumpulan penyokong Pas yang mengadakan perhimpunan di pejabat parti itu di sini hari ini mendesak agar Pas keluar daripada pakatan pembangkang di negeri ini.
Desakan tersebut dibuat oleh sekumpulan penyokong Pas itu yang bergerak atas nama Badan Bertindak Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas (GKPPNS) di hadapan Pejabat Perhubungan Pas Selangor pada pukul 11.30 pagi ini.
Jurucakap GKPPNS, Wan Hilman Wan Ibrahim yang juga ahli Pas cawangan Gombak berkata, tindakan itu diambil atas kesedaran mereka yang mahukan Pas terus kekal sebagai sebuah parti politik yang tidak perlu bersekutu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Ini yang kita (GKPPNS) tekankan kerana wujud rasa tidak puas hati kami sebagai penyokong dan pengundi Pas di peringkat akar umbi dalam banyak hal melibatkan kerjasama dengan PKR dan DAP.
"Kita tidak mahu Pas dipermain-mainkan oleh PKR dan DAP dalam membuat keputusan melibatkan pentabdiran negeri termasuklah dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kepentingan Melayu dan Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Hilman memberitahu, pihaknya turut mengemukakan 13 perkara dalam memorandum untuk mendesak parti itu keluar daripada pakatan pembangkang.
Antaranya, kata beliau, meminta kepimpinan Pas bersikap realistik dalam menyelesaikan isu orang Melayu dan Islam serta bukannya mengikut kehendak pakatan pembangkang yang didominasi oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, ujarnya, memorandum tersebut juga menyarankan kepimpinan Pas supaya mengambil iktibar dalam senario politik di negeri Perak supaya parti itu tidak dihukum oleh penyokong dan pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah, katanya lagi, kepimpinan Pas juga dituntut supaya melaksanakan prinsip perjuangan yang telus berdasarkan Perlembagaan dan mempertahankan hak Melayu serta kedudukan agama Islam di Selangor.
Bagaimanapun, jelasnya, memorandum tersebut gagal dikemukakan kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berikutan pejabat parti itu ditutup hari ini.
Wan Hilman turut menegaskan, tindakan mereka itu dibuat atas kesedaran mereka dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
/...

Tiada ulasan: