27 Disember 2009

Universiti, industri saling memerlukan maju negara

BM (Rencana) - 27/12/09
Oleh Khaled Nordin
IPT mesti dibantu institusi masyarakat untuk jadi ejen perubahan

PADA September lalu saya menyaksikan sebuah lagi universiti bertaraf antarabangsa muncul dengan kos pelaburan yang cukup besar. Universiti Sains dan Teknologi Raja Abdul Aziz Al-Saud atau King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) yang menelan belanja besar 10 bilion riyal berjaya dirasmikan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut hadir pada majlis perasmian yang penuh gemilang itu.Sebagai sebuah universiti yang menelan belanja besar, pastinya kelahiran KAUST membawa aspirasi dan agenda yang besar juga.
KAUST ditubuhkan bertujuan menjadi pusat penyelidikan yang tersohor, selain menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang menawarkan tempat kepada pelajar terbaik seluruh dunia. Meskipun KAUST bersifat mewah dan elit, universiti itu masih meletakkan misi sosial dengan menarik penyertaan pelajar terbaik dari negara miskin dan kurang membangun. Hal ini amat menarik kerana ia membuktikan KAUST amat komited dari segi akses kepada pengajian tinggi terutama kepada kumpulan yang kurang berkemampuan.
Sebagai permulaan, 400 pelajar dari seluruh dunia ditawarkan untuk belajar di KAUST. Seramai 74 ahli akademik sudah dipilih untuk berkhidmat dan menyumbang kepakaran dalam universiti elit itu. Sebagai permulaan, KAUST menawarkan 11 program akademik, antaranya Sains Komputer, Biosains, Sains Kimia, Matematik Gunaan, Sains Marin dan Kejuruteraan.
Soal prasarana dan kemudahan yang disediakan KAUST tentu sekali menarik perhatian. Padang golf, kelab perahu layar dan panggung wayang turut disediakan untuk kemudahan pelajar dan warga universiti. Malah dimaklumkan panggung wayang di KAUST adalah satu-satu seumpamanya di Arab Saudi. Sentuhan urbanisasi dan modenisasi ternyata mendominasi kampus KAUST, malah pelajar wanitanya dikatakan tidak wajib menutup aurat dan memakai abaya seperti wanita lain di luar kampus.
Kemunculan KAUST sebagai universiti elit yang menawarkan akses pengajian tinggi kepada pelajar seluruh dunia membawa beberapa persoalan penting. Antaranya, adakah KAUST bersedia menjadi enjin perubahan kepada negaranya sendiri, Arab Saudi yang terkenal dengan nilai dan amalan konservatif. Adakah KAUST boleh membawa idea perubahan dan mengubah landskap sosiopolitik Arab Saudi? Adakah KAUST pada akhirnya boleh mengubah sistem monarki kepada demokrasi?
Saya tidak berminat untuk menjawab persoalan itu dari sudut KAUST dan Arab Saudi. Perkara itu boleh menjadi persoalan umum yang boleh dihalakan kepada mana-mana pihak, termasuk kita di Malaysia. Ramai di kalangan kita bertanya, apakah universiti boleh berbuat sesuatu untuk melakukan perubahan untuk negara?
Ada kalanya persoalan yang diajukan terlalu berat sehingga seolah-olah universiti yang bertanggungjawab menentukan masa depan negara. Soalan yang hampir sama ditanya kepada saya sewaktu menjadi panel dalam Agenda Awani, di saluran Astro Awani, bulan lalu.
Soalan pengerusi acara kepada saya, apakah universiti bertanggungjawab menyediakan ekosistem yang baik untuk negara? Jawapan saya mudah saja iaitu universiti bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab menyediakan ekosistem itu, sebaliknya yang lebih penting ialah universiti mesti berada dalam ekosistem yang baik kerana dengan itu, ia boleh menyumbang secara efektif kepada pembangunan negara.
Mesej yang ingin saya sampaikan dalam hal ini amat mudah. Kita tidak boleh bergerak dan berfungsi secara terpisah. Universiti tidak boleh bergerak dengan sendirinya tanpa bantuan pihak lain. Dalam soal penyelidikan misalnya, universiti boleh menghasilkan penyelidikan yang bermutu dan berimpak tinggi. Namun ia masih memerlukan aktor lain seperti pihak industri untuk tujuan pengkomersialan. Jika tidak, hasil penyelidikan di universiti akan terbiar begitu saja dan perbelanjaan yang besar kita terhadap penyelidikan tidak berbaloi. Justeru, hubungan universiti dengan industri mesti diperkukuhkan, malah saya menggalakkan supaya industri menjadikan universiti sebagai pusat latihan mereka dalam kampus.
Saya sering kali mengingatkan kepada universiti supaya bersikap proaktif untuk menjual produk dan hasil penyelidikan mereka. Universiti tidak boleh mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga industri mendekati mereka. Kita mempunyai banyak hasil penyelidikan dan inovasi yang boleh dibanggakan. Penemuan genom getah yang hasilkan oleh Pusat Biologi Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan penciptaan terowong angin untuk program aeroangkasa dan automotif, penyelidikan aerodinamik dan pembangunan produk berkaitan aerodinamik oleh Kuliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) antara inovasi tempatan bertaraf dunia yang boleh dikomersialkan oleh industri.
Saya percaya, jika produk dan hasil penyelidikan universiti kita berjaya dikomersialkan secara optimum, hasrat kerajaan untuk membawa model ekonomi baru berteraskan inovasi akan terlaksana.Baru-baru ini, saya bercakap mengenai persediaan dan perancangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Ada lapan strategi untuk memastikan jaminan masa depan negara melalui sektor pengajian tinggi. Saya sedar, beberapa idea yang dilontar dalam perancangan KPT untuk RMK 10 adalah besar.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa KPT tidak boleh melakukan secara bersendiri dan perlu kerjasama beberapa pihak termasuk kementerian dan industri amat dialu-alukan. Saya juga percaya hal yang sama juga berlaku pada kementerian yang lain kerana dalam dunia yang global dan penuh cabaran ini, kita mesti bersatu dan berganding bahu.
Beberapa hari lalu, saya merasmikan Global Higher Education Forum (GHEF), anjuran KPT, Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPTTN), Arab Saudi dan disokong oleh Association of African Universities (AAU), Consortium for North American Higher Education Collaboration (CONAHEC). Saya percaya GHEF boleh menjadi gelanggang utama ahli akademik dan penyelidik seluruh dunia untuk bersama-sama dan berkolaborasi dalam menangani isu pengajian tinggi masa kini.
GHEF yang mengambil tema trend semasa dan masa depan dalam pengajian tinggi negara membincangkan pelbagai isu yang berkaitan. Ia amat relevan kerana dalam kedudukan dunia yang global dan sudah terheret dengan isu pengantarabangsaan dan kuasa pasaran, sektor pengajian tinggi mesti berubah dan memugar paradigmanya.
Isu kerjasama antara institusi pengajian tinggi turut mendapat perhatian kerana seperti yang saya jelaskan sebentar tadi, kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah. Institusi pengajian tinggi negara mesti bersama-sama dalam satu wadah seperti yang ditunjukkan oleh beberapa negara lain.
Beberapa kolaborasi antara universiti seperti The Association of Southeast Institutions of Higher Learning (ASAIHL), The Association of African Universities (AAU), the European University Association (EUA) and the International Association of Universities (IAU) boleh dijadikan model dan contoh kepada perkongsian bijak antara institusi pengajian tinggi.
Selain itu, pengalaman Malaysia dalam mengendalikan sektor pengajian tinggi mesti dikongsi oleh negara lain. Komitmen Malaysia untuk membantu sektor pengajian tinggi di beberapa negara seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV) mesti disokong dan dibantu. Strategi serampang dua mata ini juga boleh menjadi sebahagian daripada dasar luar negara kita melalui strategi pengajian tinggi.
Kesimpulannya, masa depan universiti cukup hebat. Mereka berdepan dalam situasi globalisasi yang mencabar dan mendebarkan. Tiada cara yang terbaik melainkan berkongsi dan berkolaborasi. Dalam pada itu, permintaan terhadap pengajian tinggi juga meningkat.
Global Education Digest 2009 yang diterbitkan oleh Institut Statistik Unesco menunjukkan bahawa sejak 2000, 51.7 juta pelajar seluruh dunia sudah dan sedang melanjutkan pengajian pada peringkat pengajian tinggi. Daripada jumlah itu, 2.8 juta pelajar melanjutkan pengajian di luar negara mereka. Ini adalah satu statistik yang menarik dan cabarannya juga mengujakan.
/...
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

Tiada ulasan: