31 Januari 2010

KM dituduh berfikiran amat bahaya

Utusan - 31/01/10
KUALA LUMPUR 30 Jan. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat berbahaya kerana beliau yang dikatakan mempunyai fikiran antiperlembagaan Persekutuan dan antisistem demokrasi.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinis berkata, dakwaan itu boleh dianggap benar selagi Guan Eng tidak menafikannya dan membuat laporan polis terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan ‘ledakan bom atom’ itu.
“Menuduh Guan Eng sebagai diktator mungkin dianggap biasa untuk orang politik yang tidak berpuas hati. Tetapi menuduh beliau sebagai cauvinis dan berfikiran bahaya sudah tentu mengejutkan dan boleh dianggap ledakan bom atom.
“Tuduhan itu amat berbahaya, Guan Eng layak buat laporan polis. Berfikiran demikian bermaksud Guan Eng sudah tentu mahu jadikan negara ini antiperlembagaan Persekutuan dan antisistem demokrasi,” katanya dalam blog, http://puadzarkashii.blogspot.com.
Kelmarin, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim secara keras menyerang Guan Eng yang digambarkan sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran bahaya.
Zahrain menyatakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP akan menjadi liabiliti kepada pakatan pembangkang sekiranya masih mengekalkan rentak pentadbiran yang diamalkan sekarang.
Tambah Mohd. Puad, kemelut terbaru itu jelas membuktikan pakatan pembangkang tidak mempunyai kesesuaian untuk bersama, jauh sekali membentuk sebuah kerajaan yang kuat dan bersatu.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: