31 Januari 2010

Ramai lompat keluar bila PKR hanyut

Utusan - 31/01/10
Oleh Ku Seman Ku Hussain
PERTELAGAHAN bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menambah catatan “menarik” dalam antologi PKR.
Kelantangan Zahrain terhadap isu Melayu adalah luar biasa dalam PKR sekaligus membahayakan kedudukan Zahrain.
Sebelum ini kelantangan Ahli Parlimen PKR Kulim – Bandar Baru Zulkifli Noordin terhadap Khalid Samad dari Pas. Zulkifli bakal mendepani tindakan oleh PKR sekalipun beliau bertegas tentang isu kalimah Allah. Zulkifli pula bersedia untuk dipecat apabila memilih kepentingan Islam daripada politik.
Sebelum ini banyak juga catatan menarik tentang pemimpin-pemimpin penting PKR yang mengambil tindakan keluar parti dan juga meletakkan jawatan dalam parti.
Pada Oktober tahun lalu Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Kelang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan keluar parti. PKR mempunyai banyak alasan untuk menunjukkan kegembiraan mereka dengan tindakan pemimpin PKR yang keluar parti. Tetapi realitinya kegembiraan itu tidak begitu memukau orang kerana mereka berfikir PKR dalam situasi sebaliknya.
Tindakan keluar parti PKR sebenarnya bukan lagi menjadi isu kerana sudah banyak pemimpin PKR termasuk yang mengasaskan PKR pun mengambil tindakan yang sama. Cuma yang menjadi isu atau berita menarik ialah kemasukan tokoh parti lain dalam PKR. Ia menjadi menarik kerana tokoh yang menyertai PKR kebanyakan terdiri daripada mereka yang berada di tepi padang. Dalam kata lain mereka bukan pemain utama yang menjadi asas kekuatan parti sebelumnya. Maka mereka juga tidak menggantikan yang lari meninggalkan PKR.
Tentu kita masih ingat kepada Timbalan Presiden Chandra Muzaffar, Ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Zainur Zakaria dan Datuk S. Nallakarupan, Naib Presiden Marina Yusuf dan Setiausaha Agung Anuar Tahir telah keluar daripada PKR.
Keputusan
Naib Ketua Pemuda Muhammad Zahid Md Arip dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Keadilan Hamdan Taha juga mengambil keputusan meninggalkan PKR. Kenapa dengan mereka? Apa yang kurangnya PKR hingga membuatkan hati mereka tawar untuk terus bersama PKR?
Barangkali ada antara mereka ini sedar betapa sukarnya untuk berjalan dalam gelap yang tidak kelihatan langsung titik sasaran? Atau pun mereka tidak pantas menerima mimpi-mimpi besar dan mereka tertinggal kerana berfikir secara realistik.
Kita sebenarnya “bersimpati” dengan PKR yang koyak rabak di sana sini. Jaga di sana dan hilang di sini. Rakyat pula mulai bertanya tentang janji-janji pilihan raya yang tidak terlaksana. PKR telah kehilangan banyak darah dan ini menjadikan PKR tenat sekalipun hal ini ditutup dari mata rakyat.
Lebih menyayat hati lagi apabila ada yang bertanya, PKR wujud untuk siapa dan apa perjuangannya? Rakyat memang wajar bertanya apabila mereka sendiri keliru apakah tersalah memberi tanggungjawab kepada PKR dalam pilihan raya yang lalu.
Memperjuangkan keadilan? Itu memang bagus. Buktinya semua parti politik di seluruh dunia tidak kira di mana juga pasti terselit agenda perjuangan menuntut keadilan. Jadi, PKR kenalah perhalusi menuntut keadilan untuk siapa. Misalnya adakah Zulkifli Noordin diberi keadilan oleh PKR untuk memilih kepentingan agama mengatasi kepentingan PKR? Apabila Zulkifli mahu dikenakan tindakan oleh pemimpin tertinggi PKR kerana memilih kepentingan Islam, ini menunjukkan tidak ada keadilan dan menyekat kebebasan bersuara.
Ironiknya PKR yang banyak memperjuangkan kebebasan bersuara tetapi PKR sendiri menghalang pemimpinnya bersuara. PKR memperjuangkan kebebasan media, PKR juga yang memulaukan media yang bukan sealiran dengan politiknya.
Keadaan tenat PKR sekarang segera mengingatkan pada pagi 10 April 1999, Ballroom Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Hari itu bagai pesta. Segenap sudut gemerlapan sementara di lobi dan laman hotel kedengaran laungan “reformasi” dan “Allahhuakbar.”
Orang berpusu-pusu untuk turut berada dalam detik “bersejarah” kelahiran sebuah parti politik yang baru, Parti Keadilan Nasional (Keadilan). Semua ini adalah lanjutan episod gelegaknya politik negara selepas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak kenal
Ketika itu banyak yang tidak kenal apa itu parti Keadilan. Tetapi mereka memahami serba sedikit bahawa kelahiran parti itu adalah untuk menuntut keadilan bagi Anwar yang dikatakan menjadi mangsa konspirasi politik. Ketika itu juga perjuangan menuntut keadilan kelihatan sangat sinonim dengan Anwar, bukan
rakyat.
Pelancaran parti Keadilan berlangsung dalam suasana penuh meriah. Apabila lampu disuramkan, muzik ala filem Star Wars bergema memenuhi ruang dewan dan pancaran laser mencipta kehebatan pada indera siapa yang berada di situ.
Kemudian pada 17 Mei 2004, Keadilan “berkahwin” dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan lahirlah Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang ada sekarang ini. Semua orang tahu PKR adalah parti pelbagai kaum tetapi dalam banyak perkara pemimpin Melayu dalam PKR sangat toleran hingga kepada perkara-perkara yang menyentuh soal orang Melayu dan agama Islam.
Mengimbas kembali acara pelancaran Keadilan yang penuh gah, riwayat dan nafas sesebuah parti politik bukanlah terletak kepada kemilau dan gamatnya muzik ala Star Wars. Parti politik boleh saja menjadi hebat tanpa riuh rendah, sebaliknya hebat kerana laras perjuangan yang jelas dan ada prinsip teras. Apa teras PKR?
Setakat ini PKR masih belum terlepas daripada dilihat sebagai gelanggang memperjuangkan “keadilan” kepada Anwar. PKR tidak bercakap soal Melayu kerana ia
bukan parti orang Melayu, dan juga tidak bertegas dalam isu melibatkan Islam.
PKR belum melakukan “reformasi” kerana ia juga membunuh kebebasan bersuara pemimpin-pemimpinnya. Selepas satu dekad kalau diukur pada kelahiran Keadilan pada 1999, PKR sudah berada dalam keadaan tenat padahal PKR seharusnya sihat.
Apabila PKR kompromi dengan beberapa isu yang melibatkan agama Islam, ada juga yang menganggap PKR sekarang bukan lagi sesat tapi sudah hanyut. Kalau sesat masih ada harapan ke pangkal jalan. Tetapi apabila hanyut PKR terpaksa mengikut arus walaupun menghina Melayu dan Islam. Mereka yang meninggalkan PKR kerana tidak mahu ikut hanyut.
/hwa-utusan

Tiada ulasan: