17 Februari 2010

Krisis pembangkang serius

ARKIB : 16/02/2010
Oleh Nadzir Awang Ahmad
Pendedahan dan kenyataan terbuka Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang yang menggesa kepimpinan tertinggi PKR mengkaji semula kedudukan dan kerjasama parti itu dengan DAP di Pulau Pinang baru-baru ini menerima komen dan pandangan daripada pelbagai pihak.
Perkara itu dibangkitkan ekoran pendedahan beliau mengenai sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai seorang pemimpin yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya. Pendedahan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Bagi penganalisis politik dan pemerhati politik tanah air yang sentiasa mengikuti perkembangan politik semasa tanah air, keretakan pakatan pembangkang memang sudah dijangka. Hanya keadaan dan masa yang bakal menentukan pakatan ini akan berkubur.
Apa tidaknya, gabungan pembangkang yang terdiri daripada tiga komponen parti utamanya iaitu PKR, DAP dan Pas masing-masing mempunyai agenda dan ideologi yang berbeza. Bak kata pepatah, tidur sebantal, mimpi berbeza.
Pergeseran, perbalahan dan pergolakan
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya selepas melawat I-City seperti dilaporkan oleh akhbar tempatan menyifatkan pakatan pembangkang merupakan marriage of convenience (perkahwinan mutaah) dan tidak akan kekal lama kerana tiada apa-apa persamaan antara PKR,DAP dan Pas.
Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan tersebut selepas diminta mengulas pergeseran antara Ahli Parlimen Kulim, Zulkifli Noordin dari PKR dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari Pas. Terkini, kemuncak pergeseran antara Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP tidak dapat dibendung lagi. Maka lengkaplah pusingan pergeseran pendapat dan mungkin juga boleh disifatkan sebagai keretakan serius untuk ketiga-tiga parti gabungan dalam pakatan pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam kenyataannya kepada pemberita selepas melancarkan Digital Pekan 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah seperti mana dilaporkan oleh akhbar menyifatkan krisis politik pembangkang terutama di Pulau Pinang berada di tahap yang amat serius sekali gus menggambarkan penolakan yang amat jelas terhadap kepimpinan Guan Eng.
Najib juga menegaskan bahawa perbalahan dan pergolakan dalam pembangkang bukan sekadar perselisihan pendapat. Katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tiada kaitan dengan apa yang sedang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.
Seterusnya Najib menyifatkan perbalahan itu merupakan satu tanda bahawa keyakinan telah hilang di kalangan pemimpin pembangkang terhadap apa yang dilakukan di peringkat negeri dan beliau juga tidak menolak kemungkinan, krisis yang sedang melanda pakatan pembangkang itu akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain yang dikuasai pakatan pembangkang.
Tempoh yang begitu muda bagi pakatan pembangkang umpama jiwa muda yang masih bergelora. Justeru, tidak hairanlah bagi pemerhati politik meramalkan pengaruh pembangkang sebagaimana yang berlaku di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu tidak akan kekal momentumnya.
Mungkin tsunami politik yang melanda kerajaan BN berkemungkinan akan melanda pakatan pembangkang pada PRU Ke-13 yang akan datang.
Keluar parti dan lompat parti
Tindakan keluar parti oleh ahli-ahli PKR sudah tidak dianggap mengejutkan lagi. Jatuhnya kerajaan pakatan pembangkang di Perak yang diterajui oleh Pas berpunca daripada tindakan ADUN PKR iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering,Kapten (B) Mohd Osman mengisytiharkan diri menjadi ADUN Bebas.
ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh dan ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah juga mengikut jejak yang dipelopori oleh rakan seperjuangan mereka di Perak.
Peletakan jawatan 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Selangor secara berperingkat bermula dari November lalu sehingga minggu lalu atas alasan hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim yang merupakan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor dan Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Perhubungan PKR Selangor dilihat satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Khalid, malah PKR itu sendiri yang menerajui kerajaan negeri pakatan pembangkang di Selangor.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia mengatakan bahawa trend peletakan jawatan ini akan berterusan dan seterusnya beliau percaya dan optimis ahli-ahli PKR akan keluar beramai-ramai dari parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Selanjutnya, Muhyiddin juga mengatakan bahawa ahli-ahli PKR semakin sedar kepimpinan parti itu lebih banyak bermain politik tetapi tidak berupaya memajukan negara atau menunjukkan kesungguhan memajukan rakyat.
Alasan yang hampir sama diberikan oleh Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR Sabah, Faizal Julaili dan Setiausaha PKR Bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali semasa bertindak keluar parti dan mengambil keputusan menyertai UMNO.
Selain daripada alasan hilang kepercayaan terhadap parti, seperti mana di dalam laporan akhbar Utusan Malaysia, beliau dipetik sebagai berkata keputusan yang dibuatnya itu bukan kerana melihat UMNO lebih banyak mendekati rakyat berbanding dengan PKR, sebaliknya kerana perubahan untuk membela rakyat tidak dilakukan oleh PKR.
Awang Mumin pula seperti mana dilaporkan oleh akhbar yang sama berkata PKR tidak melakukan sebarang perubahan untuk membela nasib rakyat di kawasan mereka. PKR hanya pandai berjanji tetapi tidak tahu melaksanakannya. Selanjutnya beliau berkata isu yang dimainkan oleh PKR hanya untuk kepentingan pemimpinnya dan bukannya untuk rakyat.
Peletakan jawatan dan tindakan keluar parti dari PKR sebelum ini juga melibatkan 'nama-nama besar', antaranya bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Annuar Shaari; bekas Ketua Penerangan, Ruslan Kassim; Dr. Chandra Muzaffar, Marina Yusof dan ramai lagi yang tidak tertulis jika diambil kira.
Selain itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR dan Biro Keahlian PKR Pahang.
Bagaimanapun, beliau kekal sebagai ahli parti, Ahli Parlimen dan Ketua PKR Bahagian Indera Mahkota. Alasan tindakan beliau kerana kecewa dengan pentadbiran parti negeri. Laporan akhbar juga menyatakan beliau telah beberapa kali menegur pentadbiran PKR negeri berkaitan pengurusan kewangan, kutipan derma dan isu 'cah keting' yang berlaku di dalam parti itu.
Analisis kebarangkalian
Beberapa persoalan menarik yang boleh dianalisis atau kebarangkalian yang berlaku daripada rentetan tindakan keluar parti dalam PKR, adakah ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan '3A' iaitu Anwar, Azizah dan Azmin yang heboh diperkatakan sebelum ini kerana hampir ada persamaan alasan keluar parti yakni hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, adakah sindrom 'cah keting' berlaku di dalam parti seperti mana kenyataan Azan Ismail, adakah tradisi membela rakyat tidak dapat dipraktikkan selepas enak berjanji semasa kempen-kempen dahulu atau ahli-ahli parti semakin sedar dengan dasar perjuangan dan hala tuju parti yang kabur!
Konsep Middle Malaysia yang diperkenalkan oleh DAP telah mencelikkan ramai pemimpin gabungan pembangkang terutamanya PKR dan Pas. Memetik kata Awang Selamat dalam tulisannya bertajuk, Ketua Menteri Diktator yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 31 Januari 2010, DAP tidak boleh dipercayai selagi pemimpinnya bermotifkan perjuangan ultra-rasis dan tidak menjunjung Perlembagaan Negara. Justeru, trend berterusan keluar parti dan krisis hilang kepercayaan ahli parti terhadap kepimpinan parti seharusnya 'membuka mata' kepada semua yang masih menyokong dan mendokong kepimpinan pakatan pembangkang kerana isu-isu yang diketengahkan ini tidak boleh dianggap sebagai isu picisan (remeh-temeh).
Jika ketika ini, di kalangan pemimpin pembangkang sudah mula hilang keyakinan dan berbalah sesama mereka dan di kalangan gabungan pakatan pembangkang seperti mana yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang, apakah rakyat yang berfikiran rasional masih mahu memberi undi dan peluang kepada pembangkang seperti mana yang berlaku pada PRU Ke-12 yang lalu untuk kekal memerintah yang telah terbukti gagal dalam menguru selia pentadbiran?
Lakukan perubahan dan gunakan kuasa keramat sebagai pengundi kerana ia bakal mengubah landskap politik kini. Fikir-fikirkanlah.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan UiTM Perlis.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: