20 Februari 2010

TPM: Malaysia tidak tunduk desakan asing

UM - 20/02/10
PUTRAJAYA 19 Feb. - Malaysia tidak akan tunduk dengan tekanan termasuk dari negara asing yang mendesak agar kes pertuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan akan terus berpegang dengan prinsip amalan demokrasi yang tidak campur tangan dalam sistem kehakiman negara.
Justeru beliau berkata, proses perundangan yang sedang dilalui oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan diteruskan kerana negara ini menghormati sistem undang-undang yang sedia termaktub.
''Walaupun mereka (kuasa asing) berhak memberikan pandangan tetapi kita lebih berhak untuk menjunjung institusi keadilan yang telah kita amalkan selama ini.
''Kalau kita tunduk, bukan sahaja bermakna kita lemah, ia juga bermakna kita sudah lari daripada dasar negara ini yang amalkan demokrasi dan pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media asing baru-baru ini mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang mahu sistem kehakiman di Malaysia berhubung kes pertuduhan liwat terhadap Anwar dilakukan secara adil.
Sebelum ini, 50 ahli Parlimen Australia turut mendesak kes pertuduhan liwat Anwar digugurkan.
Muhyiddin berkata, negara asing termasuk AS dan Australia perlu menghormati sistem perundangan negara ini dan tidak hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu.
''Hanya kerana seorang manusia menghadapi mahkamah ada sesuatu (desakan) begitu, sedangkan proses perundangan kita telah berlangsung sekian lama, bukan seorang malah banyak lagi tetapi mengapa tidak diperjuangkan.
''Mengapa nampak berbeza, selama ini banyak yang dah dijatuhkan hukuman dan ada yang dibebaskan, itu kita telah amalkan selama ini," katanya.
Dalam hal ini, beliau melahirkan rasa 'tidak berapa faham' tentang sikap pihak asing yang mengaku mengamalkan demokrasi tetapi mendesak kerajaan campur tangan dalam urusan mahkamah.
''Dalam soal ini kita tidak boleh menghukum Anwar bersalah atau tidak, sebaliknya mahkamah yang akan putuskan.
''Tetapi mereka buat hukuman awal seolah-olah kita tidak melakukan keadilan kepada beliau (Anwar), saya fikir ini satu perkara yang tidak betul," katanya.
Mengenai saranan pakatan pembangkang agar sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat terhadap Anwar, Muhyiddin berkata, kes itu telah berada di peringkat mahkamah dan ia bidang kuasa yang berbeza daripada legislatif.
''Bagaimana Lim Kit Siang (Penasihat DAP) mahu mencadangkan agar legislatif mempengaruhi kedudukan kehakiman. Ini sudah jadi kacau,"
Tambah beliau, pihaknya melihat pakatan pembangkang sudah agak bercelaru dan berasa kedudukan mereka agak tergugat.
''Kita jangan menjatuhkan hukuman awal-awal, seolah-olah orang itu sudah bersalah atau tidak bersalah.
''Saya fikir Ahli-ahli Parlimen tahu peranan mereka dan di mana peranan hakim serta mahkamah.
''Kenapa perlu dicampuradukkan kerana ia akan membawa kekeliruan kepada negara," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: