25 Februari 2010

Pahang senarai pembohongan pembangkang

UM - 25/02/10
KUANTAN 24 Feb. - Kerajaan Negeri Pahang sedang menyenaraikan pembohongan yang dibuat oleh parti pembangkang bagi menyedarkan rakyat termasuk peneroka Felda mengenai dakyah yang sengaja direka-reka oleh mereka untuk memburuk- burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, langkah tersebut membolehkan kerajaan negeri menjawab segala tohmahan yang dilemparkan oleh parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau berkata, antara pembohongan dan tohmahan yang sengaja dibuat oleh parti pembangkang ialah mengenai hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat dan belanjawan defisit kerajaan negeri.
Jelas beliau, kerajaan negeri berhutang kepada Kerajaan Persekutuan kerana hendak melaksanakan projek bekalan air dan perumahan demi kesejahteraan rakyat, bukannya seperti didakwa oleh pembangkang.
"Kita sedang senaraikan pembohongan yang dibuat oleh pihak pembangkang (dan) kita akan jawab," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik; Pengerusi Majlis Gabem Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail.
Adnan ditanya tentang tindakan PKR masuk ke tanah-tanah rancangan Felda bagi mendapatkan sokongan golongan peneroka terhadap mereka.
Beliau berkata, perkara tersebut adalah biasa kerana BN dan UMNO akan turut berbuat demikian tetapi mengikut pendekatan yang tersendiri.
"UMNO ada caranya. Selepas konvensyen (UMNO Pahang lalu), kita dapat suntikan semangat baru. Semua pemimpin dan ahli nampak bersatu dan semangat ahli UMNO Pahang kini sudah kuat," katanya.
Ditanya tentang usaha pembangkang yang berangan-angan menawan Pahang pada pilihan raya umum akan datang, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, pembangkang telah lama berangan-angan untuk merampas Pahang tetapi tidak pernah berjaya.
"Kita tidak takbur, Pahang akan jadi kubu kuat UMNO. Syaratnya, kita kerja kuat. Kita tahu ada kelemahan di satu dua kawasan, kita akan kerja kuat (untuk membaiki kelemahan tersebut)," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: