25 Februari 2010

"Saya tidak akan tarik balik kenyataan terhadap Guan Eng"

UM - 25/02/10
PETALING JAYA 24 Feb. - Anggota Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng tidak akan memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung tindakannya mengecam pentadbiran Guan Eng baru-baru ini.
Tee Beng yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Jelutong berkata, masalah beliau dengan Guan Eng akan diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti.
"Saya tidak akan tarik balik kenyataan terhadap Lim Guan Eng. Saya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin PKR menentukan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas sesi pendengaran kesnya di Ibu pejabat PKR di Damansara di sini hari ini.
Sebelum ini, Tee Beng mendakwa pentadbiran Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meminggirkan wakil rakyat PKR dan menganggapnya sebagai sampah.
Tee Beng diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu ekoran kenyataannya mengkritik Guan Eng termasuk Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali.
Dalam kenyataannya sebelum ini Tee Beng secara terang membidas dan mempertikaikan kedudukan Syed Husin sebagai timbalan presiden dan menggesa lembaga disiplin parti melakukan siasatan bagaimana Syed Husin boleh menyandang jawatan tersebut sedangkan mahkamah memutuskan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dinaunginya masih wujud.
Tee Beng berkata demikian sebagai reaksi selepas Syed Husin menyarankan beliau supaya meninggalkan parti atas keceluparannya mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Beliau sebaliknya menggesa Syed Husin agar keluar parti kerana kedudukannya dalam PKR boleh dipertikaikan.
Tee Beng juga mengulangi pendiriannya bahawa tidak akan menarik balik atau berhenti membuat kenyataan mengenai 'keangkuhan' Guan Eng meskipun menerima satu SMS daripada Syed Husin supaya berbuat demikian.
Bagaimanapun selepas dua jam menghadap jawatankuasa disiplin, Tee Beng akhirnya bersetuju memohon maaf kepada timbalan presidennya dan bersedia membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula bidasan yang dibuatnya itu.
"Saya sebagai ahli PKR masih bersama PKR dan secara ikhlas saya mohon maaf kepada timbalan presiden Syed Husin Ali berhubung kenyataan media saya terhadapnya. Mungkin saya memberi reaksi yang keterlaluan dan terlalu emosional ketika itu," katanya.
Ditanya mengapa beliau sanggup memohon maaf kepada Syed Husin tetapi enggan berbuat demikian kepada Lim, Tan berkata, masalah dengan Syed Husin umpama masalah dalam keluarga dan lebih mudah diselesaikan berbanding isunya dengan Guan Eng.
"Ia umpama masalah keluarga (Syed Husin)...kami di bawah satu bumbung, rumah yang sama. DAP ialah jiran kami dalam taman yang sama, jadi biarlah mereka yang lebih kanan berbincang dengan pihak satu lagi...biar "bapa" menyelesaikan masalah itu," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: