14 Februari 2010

Valentine bukan budaya Islam

UM - 14/02/10
Mukadimah
PENGLIBATAN pasangan remaja Islam dalam sambutan Hari Kekasih pada setiap 14 Februari dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang mengikut peredaran masa. Bagi mereka, tidak ada salahnya menyambut satu hari untuk menyatakan rasa kasih sayang terutama bagi pasangan merpati dua sejoli.
Sebab itu, mereka sentiasa tertunggu-tunggu kedatangan Hari Kekasih sebagai saat menyatakan cinta agung kepada pasangan masing-masing. Kerana terlalu obses kepada hari ini, kita dapati ada sebilangan pasangan Muslim yang ‘hanyut’ sehinggakan turut melakukan dosa seperti berpeluk cium antara bukan mahram.
Sedangkan, sambutan Hari Kekasih di negara Barat adalah lebih beradab di mana mereka menghimpunkan ahli keluarga untuk menyatakan rasa kasih sesama sendiri.
Oleh itu, Sembang Utusan Online mengadakan temu bual dengan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, PROF. MADYA DR. KHADIJAH MOHD. KHAMBALI @ HAMBALI dan Pegawai Perancang Bahasa (Bahasa Arab dan Tamadun Islam), Dewan Bahasa dan Pustaka, MOHAMAD SALAHUDDIN MOHAMED bagi mengupas isu ini.
Sembang Online yang diadakan Jumaat lalu dikendalikan oleh dua pemudah cara iaitu Pengarang Agama Utusan Malaysia, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan Wartawan Online, NURULANUAR MANSOR.
-------------------------------------------
MINGGUAN: Bagaimana Islam melihat kasih sayang sesama insan?
MOHD. SALAHUDDIN:
Dari segi agama Islam, ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah pun dah mengajar banyak aspek-aspek untuk menaikkan nilai-nilai kasih sayang dalam kehidupan kita kerana Islam mengutamakan ukhuwah.
Kita tengok Rasulullah SAW berdakwah pun menyebarkan kepada penyatuan kasih sayang. Sebab itu Islam tidak berkembang dengan cara kekerasan, Islam tidak suka kepada kekerasan.
Dari segi konsep cinta dan kasih sayang, sebagaimana diterangkan sesetengah ulama dalam kita 'Al-Asyiq', cinta ini dikatakan sebagai air kehidupan dan makanan kepada rohani. Seolah-olah tidak boleh dipisahkan dengan manusia.
Cuma yang berlaku sekarang berkaitan Hari Valentine adalah masalah budaya masyarakat kita. Di seluruh dunia juga mempunyai masalah kekurangan kasih sayang dalam kehidupan.
Masalah inilah yang menjadi titik tolak menyebabkan sekarang ini mereka memainkan elemen-elemen untuk mendedahkan nilai kasih sayang kepada tarif tertentu.
Tetapi dari perspektif Islam, Rasulullah pernah menyebut bahawa kalimah yang baik itu merupakan satu sedekah. Rasulullah kata, kamu amalkan dalam kehidupan kamu.
Apabila para sahabat mendengar perkataan itu, mereka nak bermusafir pun menggunakan syair-syair yang manis. Bermakna Islam sudah ajar dari awal betapa kasih sayang itu perlu diterap, cuma cara kita mengolah dalam masyarakat bagaimana kita nak kembangkan nilai kasih sayang itu sendiri.
Berlaku kejahilan di kalangan kita sendiri bagaimana mahu hidupkan nilai kasih sayang dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Bukan kita hanya laungkan slogan tetapi apa yang penting adalah pengisian yang perlu kita buat.
Pendekatan kita barangkali tidak begitu kena dalam menerapkan nilai kasih sayang hingga membuatkan ramai orang suka menyambut hari kekasih ini secara membuta tuli. Boleh Dr. jelaskan apa maksudnya Hari Valentine ini?
DR. KHADIJAH: Hari Valentine ini diambil dari nama seorang paderi dan ada juga yang mengatakan bahawa beliau sebenarnya ialah seorang bishop.
Beliau cuba menyebarkan ajaran Kristian di Rom. Sebenarnya di Rom, pada masa itu mereka telah menyambut perayaan kasih sayang pada setiap 15 Februari. Ketika itu masyarakat Rom menyembah tuhan Lupercus. Lupercus menjaga pertanian dan kebajikan masyarakat Rom.
Selepas melakukan musim menuai, ia seakan-akan satu dedikasi kepada tuhan mereka itu, mereka akan menyambutnya dengan penuh kasih sayang dan disambut dengan penuh kesyukuran dan rasa terima kasih. Ketika itu juga satu medan untuk mereka cari pasangan hidup.
Apabila mereka bertukar pula pada tuhan Juno iaitu tuhan perkahwinan, pada peringkat itu perayaan dimulakan dengan meletak nama dalam peti undi dan kemudian diundi. Nama pasangan yang diundi pula dikatakan akan bahagia kerana kononnya direstui Juno.
Jadi apabila St. Valentino datang ke Rom untuk sebarkan Kristian, ketika itu juga pemerintah Rom kenakan desakan ketenteraan yang minta para remaja yang belum berkahwin mengikuti latihan ketenteraan dan seterusnya pertahankan negara Rom.
Mereka yang bercinta ketika itu tidak sanggup meninggalkan kekasih masing-masing tetapi ketika itu tiada siapa yang berani mengahwinkan mereka kerana sesiapa yang berbuat demikian akan dibunuh.
Justeru mereka menemui St. Valentino dan beliau pada masa itu menyebarkan bentuk kasih sayang dalam agama Kristian dengan mengahwinkan mereka mengikut upacara perkahwinan kristian.
Apabila remaja berkenaan begitu prihatin terhadap ikatan kasih sayang mereka, maka mereka hebohkan perkara itu dan semakin ramai yang menemui St. Valentino untuk berkahwin dan tidak mengikuti latihan ketenteraan.
Apabila perkara ini diketahui pemerintah Rom, St. Valentino dipenjarakan dan akhirnya dibunuh. Tetapi sebelum beliau dibunuh, beliau telah ditemui salah seorang pengawal penjara yang anaknya buta.
Anaknya yang buta itu tertarik dengan kisah St. Valentino walaupun belum pernah bertemu dengannya. Sebelum St. Valentino dibunuh, beliau sempat memberi kata-kata perangsang kepada anak pengawal itu yang buta untuk terus hidup. Pada awalnya, gadis itu mahu membunuh diri.
Bermula dari kisah itu, sebagai memperingati jasa St. Valentino ini, maka satu perayaan apabila kebanyakan masyarakat Rom telah memeluk agama Kristian, maka perayaan kepada tuhan Lupercus dan tuhan Juno disimbolikkan dalam perayaan kasih sayang Valentine's Day.
Itu sebenarnya kasih sayang itu adalah bertitik tolak daripada penyebaran agama Kristian berdasarkan kepada akidah trinity. Maknanya kasih sayang itu mesti disebarkan atas sebab keyakinan dan kecintaan mereka terhadap 'holy spirit', 'Jesus Christ' dan juga 'Father'.
Dari penjelasan itu tadi bermakna kasih sayang dalam Valentine's day ini bukanlah sejati tetapi ada sebab kenapa berlaku begitu. Mungkin Dr. boleh jelaskan lebih lanjut?
DR. KHADIJAH: Kalau kita kembali kepada sejarah dalam agama Pagan di kalangan masyarakat Rom, apabila mereka dipilih melalui cabutan undi, mereka diberi tempoh setahun untuk berkasih sayang, jika mereka rasakan tidak sesuai, mereka boleh berpisah.
Soalnya, bagaimana mereka hendak cambahkan kasih sayang dalam diri kalau ada tempoh-tempoh tertentu. Bererti kasih sayang yang lahir itu seolah-olah terpaksa dan bukan datang daripada hati nurani.
Apabila perkara ini berlaku, kita yang tidak faham ini pun mengambil sambutan itu dan diterapkan dalam budaya masyarakat Melayu Muslim.
Kebanyakan remaja yang menyambut perayaan ini pun tak faham apa maksud Hari Valentine dan menganggap ia hanya berkonsepkan kasih sayang.
Melalui kajian yang saya lakukan, apabila ditanya mengapa mereka (remaja) menyambut perayaan itu, mereka kata kadang-kadang mereka ini ada 'secret admire'. Ketika inilah masanya untuk meluahkan isi hati mereka kerana mereka tidak mahu jika cinta mereka itu ditolak.
Mereka rasakan ini medan terbaik untuk meluahkan kasih sayang dengan pemberian 'teddy bear', coklat dan bunga. Sedangkan apa yang dilihat dari St. Valentino adalah penyebaran agama Kristian yang diasaskan kepada kasih sayang.
Maksudnya, jika mereka tidak percaya pada Jesus, mereka hanya percaya pada tuhan bapa, atau hanya percaya kepada salah satu daripada yang tiga itu, mereka tidak dianggap sebagai penganut Kristian tulen.
Jadi mereka perlu percaya kepada ketiga-tiganya, barulah lahirnya kasih sayang Jesus kepada penganut agama Kristian. Jika mereka tak yakin dengan pensaliban Jesus yang mengorbankan dirinya atas dasar kasih sayang untuk hapuskan dosa warisan (itu juga titik tolak kasih sayang), bererti kasih sayang disebarkan St. Valentino itu belum lagi boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Maknanya, konsep kasih sayang dalam Kristian bukanlah seperti dalam Islam yang tidak ada batasan. Kalau dalam Kristian, perlu sayang pada Jesus, baru boleh sayang pada orang lain sedangkan dalam Islam tiada batasan.
Boleh Dr. beritahu bagaimana cara masyarakat barat menyambut Valentine berbanding orang kita di sini?
DR. KHADIJAH: Saya bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Ketika saya menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat, saya dijemput salah seorang pensyarah untuk hadir ke rumahnya pada Hari Valentine.
Majlis itu dihadiri anak-anak angkatnya serta beberapa kenalan beliau. Pada majlis itu, ada beberapa keluarga yang menasihatkan agar anak-anak yang nakal untuk ke gereja kerana mereka kata pada Hari Valentine semua orang perlu ingat balik pada Jesus, pengorbanannya, Jesus sebagai penyelamat... Perkara-perkara itu yang ditekankan.
Itu bermakna, sambutan mereka lebih bermoral berbanding kita di sini. Kalau di sini, berdasarkan kajian dan pemerhatian saya, remaja muslim biasanya tanpa segan silu selepas beri kad ucapan berpeluk, bercium sedangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam dan adat ketimuran kita.
Adakah itu sebenarnya masyarakat Melayu? Sedangkan apa yang berlaku di negara barat lebih bermoral dan saya rasa pada 14 Februari itulah yang biasanya ramai remaja kita ditangkap kerana berkhalwat.
Pada hari Valentine, biasanya ada hadiah, perlu peluk-memeluk, perlu cium. Adakah itu menunjukkan kekurangan aspek-aspek fizikal untuk menunjukkan ekspresi cinta dalam Islam menyebabkan remaja lebih suka kepada konsep sambutan Valentine's ini?
MOHD. SALAHUDDIN: Sebenarnya, untuk terapkan aspek fizikal dalam kasih sayang ini, Rasulullah sudah tunjukkan contoh tetapi masalahnya kini budaya kita. Islam sebenarnya kalau kita lihat Rasulullah hendak menyelesaikan masalah dalam isu isteri yang datang haid. Ketika itu masyarakat Arab anggap gelas yang diminum isterinya masih kotor dan tidak boleh dikongsi hatta disentuh.
Itu seakan menghina isteri, justeru Rasulullah mendidik dengan cara apabila Aisyah minum air, Rasulullah mengambil gelas itu dan mencari di mana kesan bibir Aisyah. Kemudian Rasulullah terus minum di tempat itu.
Ini bermakna, Islam sudah menerapkan nilai kasih sayang secara halus supaya Islam lebih romantik daripada apa yang dianjurkan oleh Barat.
Kalau kita lihat, St. Valentino pun mengambil kesempatan daripada perayaan masyarakat Rom sendiri.
Di sinilah Kristian menerap masuk secara halus di mana akhirnya, amalan masyarakat Rom menjadi seolah-olah amalan agama Kristian.
Tidak dinafikan ada paderi-paderi menentang kerana mereka kata sambutan hari Valentine ini menyebabkan berlaku kerosakan remaja sehingga akhirnya dihentikan.
Bagaimanapun dihidupkan semula oleh golongan tertentu yang hendak kembangkan kasih sayang.
Ikuti video wawancara Sembang Utusan Online ini di www.utusan.com.my.
hwa-utusan.

Tiada ulasan: