9 Mac 2010

120 ahli PKR keluar parti sertai UMNO

ROBERT APIN (depan kanan) dan 120 bekas ahli PKR menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Abdul Rahim Ismail di Kampung Kopimpinan, Papar, Sabah, semalam.
*****

UM - 09/03/10
PAPAR 8 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri kembali goyah apabila dua Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Papar berserta 120 ahlinya mengisytihar keluar parti dan menyertai UMNO.
Ahli-ahli yang berketurunan Kadazandusun dan Murut itu menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail di Kampung Kopimpinan dekat sini hari ini.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti tersebut selain tidak rela lagi diperalatkan pemimpin-pemimpin PKR yang tamak kuasa.
Bekas Ahli Jawatankuasa PKR Papar, Camillus Ginibun berkata, keputusan itu dibuat kerana kesal dengan kepimpinan parti tersebut yang menjadi alat pihak luar untuk menghancurkan negara ini.
Katanya, perbuatan tersebut amat dikesali selain melihat masyarakat yang semakin berpecah belah dan huru hara akibat dasar-dasar PKR.
Selain itu, beliau yang juga Penyelaras Pilihan Raya Umum ke-12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis berkata, konsep 1Malaysia juga menjadi dorongan utama mereka memasuki UMNO.
"Konsep ini telah memberi kesedaran kepada kami yang sebelum ini terpedaya dengan kata-kata dan janji manis pemimpin PKR sama ada di peringkat negeri dan pusat.
"Konsep 1Malaysia membuatkan kami bangga kerana tidak ada kaum termasuk Kadazandusun dan Murut yang akan terpinggir daripada arus pembangunan," katanya di sini hari ini.
November lalu, PKR Sabah menerima tamparan hebat apabila Setiausaha Pergerakan Pemuda PKR negeri, Faizal Julaili dan Setiausaha PKR bahagian Papar, Awang Mumin Awang Marali mengisytihar keluar parti itu dan menyertai UMNO.
Keputusan itu turut diikuti hampir 200 ahli PKR cawangan Kampung Benoni dan Kampung Buang Sayang, dekat sini, akibat hilang kepercayaan terhadap parti itu.
Camillus berkata, perjuangannya bersama PKR sebelum ini hanya sia-sia dan tidak berhasil kerana hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membela nasib rakyat.
Seorang lagi ahli jawatankuasa itu, Robert Apin berkata, tujuan kemasukan beramai-ramai ahli PKR ke UMNO bukan untuk mencari kedudukan tetapi mencari 'rumah yang teguh berlindung'.
Beliau yang pernah menjawat jawatan Pengarah Logistik PKR pada pilihan raya umum lalu berkata, mereka sebenarnya mempunyai banyak pilihan untuk menyertai parti komponen BN Sabah tetapi merasakan UMNO lebih sesuai.
"Harapan kami semoga lebih ramai lagi ahli-ahli PKR sedar dan menyertai BN dalam masa terdekat. Ini kerana kerajaan BN sahaja mampu membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar,'' katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: