9 Mac 2010

PKR amal politik tidak bertamadun

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendedahkan terdapat beberapa pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengamalkan taktik politik tidak bertamadun untuk membolot semua jawatan dalam parti dan kerajaan.
Beliau memberitahu, individu-individu ini yang boleh dikatakan 'firaun-firaun kecil' menjalankan gerakan untuk menjatuhkan rakan- rakan dalam PKR bagi membolehkan mereka mendapat jawatan yang amat diidam-idamkan.
"Sepatutnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, rakyat telah menentukan wakil mereka, maka kita tumpukan kepada kerja untuk membela rakyat, malangnya apa yang berlaku dalam PKR ialah pemimpin-pemimpin ini mula menjalankan gerakan mengaibkan rakan di dalam parti.
"Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bahawa terdapat 'firaun-firaun kecil' yang ingin menjatuhkan beliau, perkara ini telah berlaku kepada saya terlebih dahulu kerana mereka idamkan jawatan yang dipegang pada masa itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pada program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 malam ini.
Fairus memberitahu, tindakan beliau melepaskan jawatan dalam PKR dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti kerana diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menstabilkan parti kerana gerakan yang dilakukan oleh 'firaun-firaun kecil' itu.
Tegasnya, sebagai seorang ahli yang taat kepada perjuangan parti, beliau telah bertindak melepaskan kedua-dua jawatan kerana tidak mahu parti bergolak.
"Itu adalah prinsip yang saya pegang, taat setia kepada prinsip perjuangan parti, yang penting ialah parti bukan pemimpin seperti saya, selama setahun (saya) memerhatikan dari luar apa yang berlaku di dalam PKR," katanya.
Fairus yang terlibat dalam PKR sejak awal penubuhan parti itu pada tahun 1998 menegaskan bahawa beliau keluar dari parti dan memasuki UMNO kerana prinsip-prinsip perjuangan parti pembangkang itu telah berubah terutama dalam memperjuangkan bangsa dan agama.
"Apa yang berlaku dalam PKR baru setahun jagung memerintah tetapi ketamakan politik amat luas sampai ke tahap bawahan sehinggakan perjuangan tersasar yang menyebabkan saya kecewa.
"Perjuangan memartabatkan bangsa dan agama, raja-raja Melayu yang telah disepakati dulu kini hancur di PKR, sebab itulah saya memilih wadah baru untuk berjuang di dalam UMNO atas prinsip untuk memperjuangkan bangsa serta agama," katanya.
Beliau menafikan terdapat tawaran berjuta-juta ringgit atau pelbagai lagi imbuhan daripada UMNO kalau menyertai parti itu tetapi apa yang ditawarkan ialah untuk terus berjuang memartabatkan bangsa serta negara.
Fairus juga merasa kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin PKR yang menyerang peribadi bekas pemimpin-pemimpin yang keluar dari parti tersebut.
"Inilah PKR yang cukup rendah martabat moralnya, politik yang mencemarkan maruah dan merupakan amalan politik kasar yang begitu hina," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: