9 Mac 2010

Wakil rakyat sendiri pun tak puas hati apatah lagi rakyat

UM - 09/03/10
KUALA LUMPUR 8 Mac - Setelah dua tahun diberi peluang memerintah di beberapa buah negeri, pakatan pembangkang seharusnya sedar betapa tugas itu tidak semudah yang disangka.
Kesukaran itu terbukti apabila kerajaan pakatan pembangkang tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak seperti dicanang sebelum ini termasuk kalangan wakil rakyat mereka sendiri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak dinafikan, adalah sesuatu yang mudah untuk pakatan pembangkang menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) terhadap setiap perkara yang tidak elok dari kaca mata mereka.
"Namun, tidak sampai beberapa ketika memerintah, mereka sendiri yang mengalami perpecahan dan keretakan. Itu menunjukkan mereka tidak mampu menjalankan tugas tersebut.
"Sedangkan wakil rakyat mereka sendiri tidak puas hati, bayangkanlah pula apa perasaan rakyat. Justeru saya mengharapkan agar BN terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat kerana pembangkang jelas tidak dapat menjalankan tugas mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula menyifatkan pentadbiran pembangkang di beberapa buah negeri terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang sebagai bercelaru.
Menurutnya, sepanjang dua tahun memerintah, pakatan itu jelas gagal mencari kata sepakat dalam beberapa isu berkaitan agama dan ketelusan sehingga gagal memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.
"Saya beranggapan masalah itu berpunca daripada kurang pengalaman di kalangan pakatan pembangkang selain kegagalan mereka untuk mencapai kata muafakat dalam satu-satu isu.
"Dua tahun cukup lama untuk rakyat menilai kemampuan pakatan itu. Pakatan pembangkang tiada dasar konsisten untuk mentadbir negeri dan itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak layak untuk mentadbir negeri," katanya.
Diminta mengulas trend wakil rakyat daripada parti pembangkang yang cenderung untuk keluar parti kebelakangan ini, Khairy menjelaskan, ia memberi petunjuk betapa keyakinan terhadap kepimpinan pakatan itu kian terhakis sedikit demi sedikit.
"Tetapi sebagaimana biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang akan mengatakan semua itu kerja UMNO. Kononnya, UMNO mempengaruhi wakil-wakil rakyat itu dan menyediakan wang untuk membeli mereka.
"Saya ingin jelaskan bahawa semua itu tidak ada kena mengena dengan UMNO. Kita tidak mengamalkan dasar membeli wakil rakyat mereka dan tindakan keluar parti itu dilakukan secara sukarela kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan pembangkang.
"Lagipun, dalam ramai-ramai yang keluar kebelakangan ini, cuma bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang menyertai UMNO. Ia membuktikan kita tidak mempengaruhi apatah lagi membeli mereka," tegasnya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: