9 Mac 2010

Guan Eng malu besar?

UM - 09/03/10
PULAU PINANG 8 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendapat malu besar apabila golongan warga emas menyifatkan pemberian RM100 kepada mereka seperti diumum kerajaan negeri baru-baru ini sebagai satu unsur rasuah.
Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong yang mendedahkan mengenai kejadian itu berkata, saat-saat memalukan itu berlaku pada satu majlis makan malam yang dihadiri Guan Eng di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini kelmarin.
Menurutnya, pada malam itu, Ketua Menteri dalam ucapannya bertanya kepada para hadirin yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas sama ada pemberian wang itu adalah rasuah.
"Beliau bertanya soalan itu sebanyak tiga kali dan setiap kali perkara itu diajukan, kumpulan warga emas yang hadir bertindak bangun lalu berkata: "Ya, itu adalah rasuah."
"Kejadian itu merupakan satu tamparan hebat dan saat-saat itu juga merupakan waktu yang sangat memalukan kepada kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bagaimanapun, dakwanya Guan Eng yang kononnya tidak mendengar jawapan yang diberikan itu berkata, langkah kerajaan negeri berbuat demikian adalah kerana mahu berkongsi kekayaan dengan rakyat.
Ekoran insiden itu, Tong Keong mencadangkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan sama ada 'niat baik' kerajaan negeri itu merupakan amalan rasuah atau sebaliknya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Gerakan menyambut baik langkah kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban golongan warga emas dengan pemberian wang tersebut.
Namun, katanya, polisi yang diguna pakai serta niat kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini perlu ikhlas sekali gus manfaat yang diberikan itu dapat dinikmati bersama dan bukan dibuat kerana politik.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: