30 Mac 2010

Benteng orang Melayu

UM (Rencana) - 30/03/10
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
KELANTANGAN Perkasa dalam mempertahankan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta agama Islam semakin mendapat kepercayaan orang Melayu.
*****
AKHBAR ini mendapat tepukan gemuruh daripada seisi dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Sabtu lalu. Dianggarkan kira-kira 10,000 orang menghadiri mesyuarat pertama kali itu yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berkali-kali Presidennya, Datuk Ibrahim Ali menjulang nama Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang begitu lantang mempertahankan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu serta agama Islam. Ibrahim juga menyamakan nasib akhbar ini dengan Perkasa yang tidak henti-henti dijadikan tohmahan pihak tertentu kononnya membawa agenda rasis.
Akkbar ini yang sudah pun menjangkau usia 72 tahun sudah sangat terbiasa dan lali dengan tuduhan-tuduhan seperti itu. Maka, Perkasa yang baru berusia setahun jagung, untuk bertahan bagi tempoh yang lama, bersedialah dengan kecaman yang serupa atau mungkin lebih hebat lagi.
Kewujudan Perkasa yang ditubuhkan pada September 2008 benar-benar mendapat perhatian banyak pihak ketika ini. Dalam tempoh yang sangat singkat, Perkasa mengumpul sokongan luar biasa daripada orang Melayu dan bumiputera sehingga ke Sabah dan Sarawak. Pihak-pihak yang bebas menyentuh mengenai keistimewaan orang Melayu dan bumiputera sebelum ini juga mula berasa kurang senang.
Kelibat Ibrahim serta pemimpin Perkasa lainnya yang lantang dan sentiasa ke hadapan sedikit sebanyak menimbulkan rasa gerun. Orang Melayu sebenarnya sudah lupa jika mereka pernah ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang benar-benar mewakili kepentingan dan suara mereka. Sedangkan NGO berasaskan Melayu atau Islam dengan pelbagai nama dan matlamat perjuangan ketika ini cukup banyak.
Malangnya, tidak ada yang begitu berani ke hadapan dan lantang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam ketika ia dipijak- pijak.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, pelbagai desakan yang jelas tidak mengambil kira perasaan orang Melayu dan bumiputera serta Islam dibangkitkan. Hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera seperti bahasa Melayu, biasiswa, kuota, dan banyak lagi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan cuba dinafikan. Begitu juga dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan agama Islam yang turut dipersoalkan.
Malah ada yang begitu berani membuat kenyataan bahawa kaum Melayu di bumi Malaysia ini sebenarnya adalah pendatang. Agak menghairankan tuntutan dan desakan seperti itu dibuat ketika kelebihan kaum bukan bumiputera tidak sedikit pun diganggu atau cuba dinafikan.
Semua kaum di negara ini tidak kira Cina, India atau kaum-kaum lain mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan. Malah dalam kebanyakan keadaan, kaum bukan bumiputera sebenarnya mengecapi kehidupan yang lebih baik berbanding dengan orang Melayu dan bumiputera.
Mereka menikmati kek ekonomi yang lebih besar meskipun merupakan penduduk minoriti. Mereka juga bebas mengamalkan kepercayaan dan bahasa masing-masing, meskipun agama Islam dan bahasa Melayu merupakan agama dan bahasa rasmi negara ini. Sistem pendidikan juga dibuka seluas-luasnya kepada semua kaum menerusi sekolah jenis aliran.
Meskipun seluruh rakyat Malaysia bersetuju bahawa sekolah aliran ini semakin menjarakkan hubungan antara kaum, namun kebebasan seperti itu masih dinikmati. Maka di mana sebenarnya ruang ketidakadilan yang boleh dipersoalkan? Mungkin selama 53 tahun negara merdeka, orang Melayu berasa selesa dengan UMNO.
Sepanjang tempoh itu, mereka melihat UMNO sebagai sebuah pertubuhan yang berjuang untuk mempertahan dan membela hak-hak orang Melayu. UMNO juga diletakkan harapan untuk mengubah dan melonjak kedudukan orang-orang Melayu agar menjadi lebih baik.
Tidak dinafikan, UMNO dan sudah semestinya kerajaan Barisan Nasional (BN), telah memainkan peranan yang sangat besar kepada bangsa dan negara sepanjang tempoh itu. Namun ibarat roda yang berputar, UMNO tidak selamanya dilihat sebagai pejuang orang Melayu.
Tempoh beberapa tahun kebelakangan ini misalnya, menyaksikan betapa parti itu semakin ditolak oleh rakyat. Kemuncaknya adalah pada pilihan raya umum lalu apabila UMNO dan BN hilang sokongan majoriti. Barangkali kerana kelemahan UMNO yang sering dilihat sebagai benteng orang Melayu, timbul keberanian luar biasa sesetengah pihak untuk mempersoalkan apa yang selama ini menjadi hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.
Maka, kehadiran Perkasa sebagai pembela orang Melayu dan bumiputera sangat tepat ketika UMNO kini sedang mengalami proses pemulihan.
Namun dalam keadaan begitu, Perkasa bukanlah parti politik dan barangkali tidak mungkin akan menjadi parti politik atau dipandang sebagai parti politik. Ini kerana orang Melayu tidak memerlukan sebuah parti politik baru untuk mewakili mereka.
Kewujudan lebih banyak parti politik hanya akan memecah-belahkan orang Melayu. Sebaliknya adalah menjadi harapan sekiranya parti politik Melayu sedia ada terutamanya UMNO dan Pas dapat bekerjasama terutamanya dalam soal kepentingan Melayu dan agama Islam.
Perkara ini juga merupakan perhatian utama Perkasa apabila usul mengenainya diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan itu, Sabtu lalu. Turut diluluskan adalah usul memperkemaskan Perlembagaan bagi memastikan kalimah Allah hanya untuk umat Islam dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan terhadap mereka yang mempersendakan Islam.
Usul lain termasuk mengembalikan nisbah pengagihan biasiswa kepada nisbah 90:10 atau 67:33 berdasarkan komposisi kaum. Dari sudut ekonomi pula, Perkasa menggesa supaya Model Ekonomi Baru (MEB) dapat membentuk instrumen berkesan bagi memastikan orang Melayu dapat meningkatkan pemilikan bangunan dan premis.
Melihat agenda perjuangan Perkasa ini serta persekitaran semasa yang mana terlalu banyak ketidakadilan tanggapan dilemparkan terhadap Perlembagaan, maka wajarlah orang Melayu dan bumiputera untuk bersama-sama memberi sokongan. Bagi yang bukan Melayu pula, usahlah terlalu berasa bimbang.
Perjuangan Perkasa tidak akan menyimpang daripada apa yang digariskan oleh Perlembagaan. Selagi semua pihak menghormati apa yang termaktub di Perlembagaan, Perkasa juga tidak akan melenting yang bukan-bukan.
/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: