30 Mac 2010

Cabaran untuk MCA, Soi Lek dan Tiong Lai

UM (Rencana) - 30/03/10.
PEMILIHAN bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA dan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai timbalannya diharapkan akan membuka era baru kepada parti tersebut. Seramai 2,315 perwakilan sudah pun membuat keputusan, tidak kiralah berapa jumlah majoriti yang dimenangi oleh kedua-dua pemimpin itu tetapi apa yang penting pemilihan telah dilaksanakan secara demokrasi.
Oleh itu, semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka seperti mana pendirian yang ditunjukkan oleh dua lagi calon Presiden yang tewas iaitu Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat.
Kini MCA perlu menumpukan perhatian kepada agenda yang lebih besar iaitu menyatukan semua ahli di dalam satu pasukan dan mengukuhkan MCA sebagai salah satu komponen terpenting dalam Barisan Nasional (BN).
Masa untuk berbalah dan bertelingkah sudah berlalu. Pemilihan yang dijalankan dianggap penyelesaian terbaik.
Oleh itu, pemimpin dan ahli MCA perlu menumpukan perhatian untuk berusaha mengembalikan parti tersebut sebagai sebuah parti yang digeruni lawan dan menjadi harapan kepada rakyat terutama masyarakat Cina khasnya.
Sudah menjadi adat pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang, tetapi ini tidak bermakna yang kalah harus bermusuh dengan yang menang dan yang menang pula perlu membalas dendam kepada yang kalah.
Adalah lebih baik, jika kesemua pemimpin-pemimpin MCA bersatu hati dan berada dalam satu barisan kerana perjuangan yang lebih getir menanti mereka iaitu mengembalikan sokongan majoriti masyarakat Cina kepada BN.
MCA tidak harus selamanya berada dalam konflik, krisis dan kemelut. Oleh itu, adalah diharapkan Soi Lek dan Tiong Lai, biarpun sebelum ini dilihat berada di dalam kem berasingan akan bersatu hati melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan parti dan negara.

Tiada ulasan: