9 Mac 2010

Mufti Perak jadi ejen perpaduan, perdamaian umat Melayu

UM - 09/03/10
IPOH 8 Mac - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih layak digelar ejen perpecahan berbanding tindakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mahu menyatupadukan umat Islam menerusi cadangan pembentukan kerajaan campuran di Perak.
Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, Menteri Besar Kelantan itu sepatutnya muhasabah peranan yang dimainkan dirinya untuk perpaduan umat Islam daripada menghina Mufti Perak.
"Nik Abdul Aziz memperlekehkan Harussani sebab beliau tidak dapat membezakan peranan mufti sebagai penasihat dalam urusan agama dan bukannya ejen UMNO.
"Mufti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam tanpa mengira fahaman politik tetapi berdasarkan kenyataan Nik Abdul Aziz dan para pemimpin Pas yang menolak perpaduan, merekalah ejen perpecahan umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Hamdi berkata, sebagai seorang yang digelar tok guru oleh penyokong Pas, Nik Abdul Aziz sewajarnya menerima kenyataan Mufti Perak sebagai satu teguran dan bukannya bersikap melenting.
Katanya, janganlah hanya kerana digelar ulama dan tok guru, Nik Abdul Aziz mengatakan orang lain sering melakukan kesilapan dan tidak pula melihat kesilapan diri sendiri.
"Kita tidak pernah melenting semasa Mufti Perak tegur UMNO.
"Semasa Mufti Perak tegur UMNO, orang Pas kata Harussani penyokong Pas tetapi apabila mereka pula ditegur, mereka tuduh Mufti Perak ejen UMNO," katanya.
Sebelum ini, Harussani mendedahkan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.
"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak (ketika itu), Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP)," kata Harussani.
Sementara itu, Penasihat Hal Ehwal Agama Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Mohd. Najmuddin Elias Al-Hafiz menafikan Harussani adalah ejen UMNO seperti yang didakwa Menteri Besar Kelantan itu.
''Tuduhan itu agak melampau, mufti bukan orang UMNO dan tidak bergiat dalam UMNO pun. Sebagai mufti, beliau ditugaskan untuk menyatupadukan umat Islam.
''Apabila Harussani melihat perpecahan di Perak, beliau mengambil jalan tengah untuk mendamaikan kedua-dua pihak iaitu melibatkan dua parti Melayu terbesar - UMNO dan Pas.
''Ini bermakna, beliau bukan ejen UMNO tetapi ejen perpaduan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Najmuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau berkata, beliau hairan mengapa sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sanggup menolak usaha itu.
''Kita hairan apabila kepimpinan tertinggi Pas pada dasarnya telah bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan di Perak tetapi ditentang oleh beberapa pemimpinnya.
''Islam sendiri kata umat Islam bersaudara, jadi menjadi tanggungjawab orang beriman untuk menggalakkan perpaduan. Ini kerana kekuatan orang Islam terletak pada perpaduan," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: