28 Mac 2010

Nik Aziz subahat cubaan jatuhkan kerajaan: Dr M

Oleh Mohd Azis Ngah dan Khairul Azran Hussin
bminggu@bharian.com.my 2010/03/28

Tindakan selar Zahrain bukti Mursyidul Am Pas sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bersubahat dalam isu cubaan menjatuhkan kerajaan melalui rampasan kuasa 16 September 2008 kerana melarang sebarang pendedahan mengenainya dibuat kepada umum.

Bekas Perdana Menteri berkata, pendirian Mursyidul Am Pas itu dilihat jelas melalui tindakannya menyelar Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas rakan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membongkar rancangan jahat berkenaan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, tindakan Nik Aziz itu menggambarkan beliau sebenarnya tahu mengenai rancangan berkenaan dan menyokong tindakan Anwar dalam usaha menawan Putrajaya.

“Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedahkan perbuatan jahat yang dilakukan... itu tidak baik, itu subahat dan jahat, sedangkan kita tahu semua itu (rancangan)... kira macam subahatlah.

“Beliau sokong supaya jangan dedahkan perihal (rancangan) Anwar. Itulah (sebab) dia subahat dengan Anwar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa Kali Pertama 2010 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.

Kira-kira 10,000 ahli Perkasa dari seluruh negara menghadiri perhimpunan itu. Hadir sama, badan bukan kerajaan (NGO) itu, Datuk Ibrahim Ali.

Dr Mahathir mengulas mengenai budaya berbohong dan fitnah yang kini dikatakan semakin menular dalam Pakatan Rakyat.

Zahrain yang menjadi wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pendedahan dengan mendakwa Anwar berbohong kononnya Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera merestui rancangan pembangkang mengambil alih kuasa pada 16 September 2008.

Mengulas pandangan serong sesetengah pihak berhubung pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah syariah, Dr Mahathir berkata, perkara itu patut dikaji semula.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menyifatkan tempoh tahun pertama Datuk Seri Najib Razak memerintah sebagai Perdana Menteri jauh lebih baik daripada pemimpin sebelum ini dan bersifat lebih liberal dalam tindakannya.

“Dia ada idea dan harapan saya beliau dapat melaksanakan dengan lebih baik. Saya juga tidak lagi dilarang untuk berucap di mana-mana, sesiapa saja boleh jemput,” katanya berseloroh.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: