28 Mac 2010

Polis siasat pendedahan Zulkifli Noordin

ARKIB : UM - 26/03/2010
KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis akan siasat pendedahan mengejut yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin semalam mengenai ganjaran lumayan yang ditawarkan pihak tertentu untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, ini kerana pendedahan Zulkifli itu merupakan maklumat baru kepada polis dan orang ramai, justeru, ia perlu disiasat kesahihannya.
"Sudah tentu apabila ada maklumat baru yang diperoleh polis, maka siasatan akan dijalankan sama ada ia benar atau sebaliknya.
"Polis akan mengenal pasti jika ada mana-mana pihak atau individu yang boleh tampil mengesahkan maklumat yang didedahkan itu," katanya pada sidang akhbar selepas sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Semalam pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mendakwa, beliau diberi tugasan oleh pihak tertentu yang bagaimanapun tidak didedahkan identitinya, untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Antaranya, beliau diminta untuk mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Kejutan berterusan di Parlimen apabila wakil rakyat Bebas itu membuat satu lagi pendedahan bahawa dia juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada tahun 2004.
Pendedahan Zulkifli telah menggemparkan arena politik negara kerana ia hadir hanya seminggu selepas bekas rakan partinya iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memecahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: