9 Mac 2010

Tidak mampu jalankan tugas

SEMALAM genaplah dua tahun, tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 berada dalam genggaman pakatan pembangkang.Kedah diketuai oleh Pas, Pulau Pinang (DAP) dan Selangor (PKR). Jika sebelum ini apabila genap setahun memerintah, mereka menganggap tidak wajar kepimpinan mereka dinilai kerana dianggap masih baru tetapi bagaimana setelah dua tahun?Apakah segala yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu sudah ditunaikan? Atau ia sekadar janji kosong bagi meraih undi dan kekuasaan?
*****
UM (Rencana) - 09/03/10
Laporan Khas kali ini yang disediakan oleh ZAINUL AZHAR ASHAARI, NOR SEDEK ISMAIL, ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN,NAZARUDIN SHAHARI, ABDUL YAZID ALIAS, NURUL HUDA HASSAN, MOHD. RAFIE AZIMI dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA meninjau perkembangan pemerintahan di ketiga-tiga negeri.
KUALA LUMPUR 8 Mac - Tempoh dua tahun yang diberi kepada pakatan pembangkang bagi mentadbir beberapa negeri membuktikan pakatan rapuh itu tidak bersedia menjalankan tugas selaku kerajaan.
Sebaliknya pemimpin kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di beberapa negeri dilihat lupa menjalankan tugas sebagai parti pemerintah apabila fokus utama mereka adalah terus mengkritik Barisan Nasional (BN).
Semua mereka juga yakin rakyat di negeri dikuasai pembangkang akan kembali menyokong BN apatah lagi dengan transformasi kepada kerajaan dan parti yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau percaya kemenangan pembangkang pada pilihan raya umum lalu didorong rasa tidak puas hati rakyat yang kemudiannya berjaya dimanipulasi pembangkang.
Namun, katanya, rakyat mula sedar pakatan itu mula pincang sehinggakan kerajaan campuran di beberapa buah negeri gagal menunaikan janji untuk bersikap adil dan menjaga kebajikan semua rakyat.
"Jadi ini peluang terbaik untuk BN menarik semula sokongan rakyat. BN perlu berusaha keras untuk kembali menjadi nadi kepada kemakmuran dan kemajuan rakyat agar sokongan terhadap kita akan terus kukuh.
"Kita mempunyai pemimpin yang kuat dan rapat dengan rakyat. Tidak pernah saya lihat Perdana Menteri yang begitu dekat dengan rakyat seperti Najib selepas era pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra," katanya.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, kerajaan pakatan pembangkang jelas tidak mempunyai perancangan konkrit untuk membangunkan negeri yang dikuasai terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor.
Menurutnya, kerajaan di negeri-negeri itu lebih gemar menyerang Kerajaan Pusat dengan menabur fitnah di samping menyalahkan kerajaan negeri terdahulu di atas apa jua masalah bagi menutup kelemahan sendiri.
Jelasnya, tindakan kerajaan negeri terlibat yang lebih gemar bertindak sebagai pembangkang bukanlah kerana mereka keliru, sebaliknya sengaja dilakukan untuk mengelirukan rakyat.
"Mereka tidak menjalankan tugas selaku parti pemerintah sebaliknya terus mengkritik parti lain seolah-olah mereka itu pembangkang. Itu dilakukan semata-mata kerana mereka tidak mampu menjalankan tugas untuk rakyat.
"Kalau perintah negeri pun tidak mampu, bagaimana mahu mentadbir Pusat? Saya yakin sokongan kepada mereka akan terus luntur dan mereka tidak akan diberi peluang sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang," ujarnya.
Pandangan Foon Meng disokong Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn, yang menyifatkan kelangsungan pakatan pembangkang hari ini bukanlah kerana kekuatan dimiliki mereka sebaliknya kerana fitnah serta serangan yang dilakukan ke atas BN.
"Kekuatan mereka juga hanya bergantung kepada personaliti pemimpin tertentu seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia jelas hanya bersifat oportunis dan tidak akan bertahan lama.
"Di Pulau Pinang pun, Ketua Menteri, Lim Guan Eng asyik memuji diri sendiri dan memutar belit kononnya Pulau Pinang hari ini lebih baik berbanding dahulu.
"Hakikatnya, prestasi kerajaan Pulau Pinang hari ini adalah lebih teruk terutama dari sudut ekonomi. PKR pula berpecah teruk di negeri itu. Jadi bagaimana boleh dikatakan mereka mentadbir negeri dengan baik?" soalnya sinis.
Bagi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas, perumpamaan paling mudah untuk menggambarkan pemerintahan pembangkang di beberapa buah negeri adalah 'ibarat kera mendapat bunga'.
"Mereka tidak bersedia untuk memerintah. Kebanyakan dilakukan mereka mempunyai agenda tersirat dan mencemar nama negara di mata dunia, tiada langsung yang membanggakan.
"Rakyat yang meletak harapan kepada mereka terbukti silap. Adalah lebih baik kita bersatu di bawah payung BN daripada memberi mandat kepada parti yang tidak berminat langsung untuk memerintah negara," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: