15 Mei 2010

Ahli ekonomi beri PM markah penuh

BERNAMA - 2010/05/15
"Perdana Menteri sudah memandu Malaysia menerusi tahap paling sukar dan 'fasa itu sudah berlalu.' Pemulihan Malaysia lebih kukuh daripada unjuran penganalisis pasaran. Kita pulih pada suku keempat tahun lepas dan ekonomi berkembang 4.5 peratus” - Dr Yeah Kim Leng , Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings

Pemulihan pantas hasil pelan rangsangan

KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi memberikan markah penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana berjaya meletakkan ekonomi Malaysia pada kadar pertumbuhan yang pesat.
Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng, memperakui pemulihan ekonomi Malaysia yang pantas adalah hasil pelan rangsangan Najib.
“Ketika mengambil alih tugas meneraju negara, krisis kewangan dunia berapa pada puncaknya. Apa yang kita lihat sekarang ialah Perdana Menteri sudah melepasi cabaran paling kritikal dalam memastikan kita mampu bertahan dalam kemelesetan global yang berlaku serentak.
“Dasar yang dilaksanakan berjaya menangani kesan krisis kewangan global sehingga Malaysia tidak mengalami kesan teruk,” katanya.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama 2010, pertumbuhan sukuan paling tinggi dalam tempoh 10 tahun.
Kali terakhir Malaysia mencatat pertumbuhan sukuan tertinggi ialah pada 2000 apabila merekodkan pertumbuhan 11.7 peratus.
Dr Yeah menyifatkan prestasi suku tahunan itu hasil daripada dasar kukuh Najib, khususnya pakej rangsangan kedua yang membantu merangsang keyakinan serta mengurangkan pemberhentian pekerja.
“Perdana Menteri sudah memandu Malaysia menerusi tahap paling sukar dan ‘fasa itu sudah berlalu.’ Pemulihan Malaysia lebih kukuh daripada unjuran penganalisis pasaran. Kita pulih pada suku keempat tahun lepas dan ekonomi berkembang sebanyak 4.5 peratus.
“Sudah pasti pertumbuhan tahunan yang ketara itu juga disebabkan ekonomi menguncup tahun lepas. Apabila anda membuat perbandingan tahunan, kita melalui pemulihan kitaran,” katanya.
Hasil daripada pandangan jauh Perdana Menteri, Dr Yeah berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai ledakan ekonomi seterusnya.
Turut kagum ialah ahli ekonomi lulusan Sorbonne Perancis, Datuk Dr Norraesah Mohamad, yang berkata tindak balas pantas Perdana Menteri untuk menggerakkan ekonomi berjalan mengikut perancangan.
Beliau berkata, satu sebab utama pemulihan itu ialah pakej rangsang RM70 bilion yang disuntik dalam ekonomi tahun lepas yang masih diteruskan.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, mengumumkan peningkatan kadar faedah untuk menangani sebarang peningkatan inflasi susulan pertumbuhan yang tinggi itu.
Ringgit juga ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis hasil daripada data KDNK yang kukuh bagi suku pertama tahun ini.
Mata wang tempatan diniagakan pada 3.1950/1000 semalam berbanding 3.2030/2070 pada Rabu.
Seorang peniaga berkata, pengukuhan ringgit disumbangkan oleh aliran masuk dana ke dalam pasaran ekuiti.
“Ringgit akan diniagakan antara 3.18 dan 3.17 berbanding dolar tidak lama lagi,” katanya.
Bekas menteri Kabinet yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Samad, berkata ringgit yang kukuh akan menggalakkan import barangan modal yang akan menyumbang kepada inovasi dan automasi industri dalam negara.
“Ia juga akan mengurangkan peruntukan subsidi kerajaan memandangkan petrol, gula dan tepung, yang menjadi produk yang memperoleh subsidi utama, semuanya yang didominasi dalam dolar AS.
“Menerusi pengurangan subsidi, perbelanjaan operasi kerajaan dan defisit akan juga berkurangan,” katanya.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: