15 Mei 2010

Keluar PKR

BH - 2010/05/15
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my


Wee Choo Keong YB Wangsa Maju jadi Bebas

KUALA LUMPUR: Selepas gagal mempertahankan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil, bulan lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam kehilangan satu lagi kerusi apabila wakil rakyatnya dari Wangsa Maju, Wee Choo Keong, mengumumkan keluar daripada parti itu.

Wee pada sidang medianya di sini, menegaskan beliau membuat keputusan itu kerana kecewa dengan cara kerajaan pakatan pembangkang Selangor menangani skandal pasir di negeri itu.

Berikutan keputusan itu, PKR yang sebelum ini mempunyai 30 kerusi di Parlimen kini hanya diwakili 24 wakil rakyat selepas Datuk Seri Zahrian Mohamed Hashim (Balik Pulau), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) meninggalkan parti itu, manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dipecat.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pula, P Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN) merampas kerusi itu yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum 2008.

Dengan perkembangan terbaru itu, pakatan pembangkang kini hanya mempunyai 76 kerusi di Parlimen dengan DAP memiliki 28 kerusi, PKR (24), Pas (23) dan Parti Sosialis Malaysia (satu). BN pula mempunyai 137 kerusi dan Bebas (lapan). Kerusi Parlimen Sibu, Sarawak yang kosong akan dipertandingkan pada pilihan raya kecil, esok.

Wee yang juga bekas Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, berkata setakat ini beliau tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Katanya, keputusan meninggalkan PKR tidak didorong oleh pilihan raya kecil Parlimen Sibu, sebaliknya kerana kecewa dengan kegagalan pemimpin parti itu menangani isu pasir di Dengkil.

“Saya mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam PKR setelah kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu pasir di Dengkil.

“Bagaimanapun saya akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Bebas. Tidak ada sebab untuk saya berhenti,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar dari PKR, S Manikavasagam, mendedahkan kerajaan Selangor kehilangan hasil pendapatan lebih RM10 juta berikutan pembabitan tiga pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), syarikat milik kerajaan negeri dalam kegiatan melombong pasir secara haram.

Wee yang juga bekas Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, berkata beliau tidak boleh menerima kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu Manikavasagam memohon maaf kerana membuat tuduhan itu.

“Saya rasa sudah tidak dapat bertahan lagi untuk terus bersama PKR dan saya tidak boleh berpura-pura mengenainya,” katanya yang kecewa dengan tindakan kerajaan Selangor menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) untuk menyiasat isu itu.

Sehubungan itu, beliau membidas Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kerana tidak mendesak supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu itu, seperti yang biasa dilakukan terhadap kerajaan kerajaan BN.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: