16 Mei 2010

Kisah Sime Darby dan Zubir

MM - 16/05/2010

Pastinya ramai terkejut dengan kerugian syarikat konglomerat Sime Darby sebanyak RM 1.63 bilion. Awang tergamam mengapa sebegitu besar kerugian yang dialami dan mengapa sekarang baru didedahkan. Lalu bermain di fikiran apa sudah jadi dengan syarikat GLC itu yang menjadi sandaran bagi memacu ekonomi negara.

Awang hargai langkah segera mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zubir Murshid bercuti. Ia menunjukkan Sime Darby memandang serius perkara itu.

Namun ia tidak memadai. Sebuah pasukan khas perlu dibentuk bagi menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh bagi mengetahui perkara sebenar. Banyak lagi yang rakyat perlu tahu.

Awang menyertai sentimen pelbagai pihak bahawa Lembaga Pengarah juga patut dipertanggungjawabkan. Lepaskanlah jawatan sebagai tanda akauntabiliti. Pengerusinya, Musa Hitam yang Awang sayangi dan hormati, juga perlu berundur.

Awang percaya Musa dan barisan Lembaga Pengarah tidak menghadapi masalah untuk berbuat demikian. Adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada Zubir semata-mata.

Awang bukan mahu memberi syarahan pengurusan tetapi hakikatnya sesiapa yang menjadi ahli Lembaga Pengarah perlu proaktif dan kritis. Bertanyalah banyak soalan yang relevan. Jangan serah dan percaya 100 peratus kepada CEO. Dalam garis panduan tadbir urus korporat sudah jelas tentang peranan Lembaga Pengarah.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kerugian besar Sime Darby. Ini termasuk janganlah kita ghairah kepada penggabungan yang membentuk konglomerat atau syarikat raksasa kerana risikonya amat besar jika tidak diurus dengan cekap dan cemerlang. Menurut penganalisis, kedudukan syarikat kongolomerat itu terlalu besar dan mempunyai kepelbagaian perniagaan yang menyebabkan ia sukar diurus. Sime Darby dibentuk daripada gabungan Sime Darby Berhad, Guthrie Berhad dan Golden Hope Berhad.

Apa pun, Awang tabik kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak yang sedikit pun tidak menutup kerugian dan kelemahan Sime Darby. Sebaliknya beliau telah memberi mesej yang tegas dan jelas kepada semua yang terlibat. Ia memperlihatkan integriti dan keterbukaan Najib demi menjayakan tadbir urus yang terbaik.

Dalam pada itu, alangkah baik jika kita dapat mendengar sendiri daripada Zubir apa sebenarnya yang terjadi. Beliau sepatutnya tampil ke hadapan menjelaskan segala-galanya. Mana tahu selain kelemahan tertentu di bawah pengurusannya, mungkin ada juga perkara yang berlaku di luar 'kuasa' beliau....

Tiada ulasan: