16 Mei 2010

PKR Cabang Ipoh Barat 'tumbang'

BM - 2010/05/16
Oleh Nurhayati Abllah
bminggu@bharian.com.my

FAUZI (tengah) menunjukkan sebahagian daripada 488 borang ahli PKR Cabang Ipoh Barat yang keluar parti di Majlis Pengisytiharan Selamat Tinggal PKR di Ipoh, semalam.

488 keluar parti bantah kehadiran petualang


IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ipoh Barat lumpuh selepas hampir 500 daripada kira-kira 2,000 ahlinya termasuk 14 ahli jawatankuasa cabang itu meletakkan jawatan dan keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan kepemimpinan PKR di Perak.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda, berkata tindakan itu bukan kerana mereka berniat buruk terhadap PKR, sebaliknya untuk menghancurkan kumpulan jahat yang sedang bermaharajalela di dalam parti atas kepentingan peribadi.

“Matlamat kami keluar parti untuk menghancurkan kabilah atau syaitan besar, firaun kecil yang ada di dalam PKR sekarang. Saya lakukan tindakan drastik ini bukan kerana benci kepada parti, tetapi bertujuan menentang segala kekotoran yang dilakukan kumpulan petualang dan pengkhianat terhadap parti serta perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menunjukkan sejumlah 488 surat pengesahan keluar parti yang ditandatangani ahli Cabang PKR Ipoh Barat sebagai bukti untuk diserahkan kepada ibu pejabat parti itu.

Fauzi turut mengumumkan beliau akan mendaftar sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebajikan dan Tindakan Suara Rakyat Perak, minggu depan.
Beliau meminta sekutu politik PKR, iaitu Pas dan DAP supaya memikirkan semula kedudukan kedua-dua parti itu dalam pakatan pembanngkang.

“PKR sekarang menjadi parti tiada nilai dan tiada harga diri. Mereka terdiri daripada manusia yang tamak, tiada kredibiliti, tidak berwibawa, tidak tahu peraturan dan jahat selain sentiasa memasang agenda bagi kepentingan mereka,” katanya.

"Jika Pas atau DAP masih ingin kekalkan nilai mereka dalam politik negara, mereka harus pertimbangkan kedudukan mereka untuk terus berkawan dengan PKR... ini adalah nasihat dan amaran saya," katanya.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: