26 Julai 2010

Anak Nik Aziz sokong perpaduan UMNO, PAS

BH - 26/07/2010

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
2010/07/26


KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz, semalam bersetuju sekiranya wujud perpaduan di antara PAS dengan UMNO serta menjelaskan pertemuan antara kepemimpinan kedua-dua parti sebelum ini memang sentiasa berlaku.

Beliau berkata, masalah pertemuan antara PAS dan UMNO menjadi sensitif kini sejak wujud pakatan pembangkang kerana boleh menyebabkan berlaku kekeliruan dalam pakatan berkenaan.

"Masalah perjumpaan antara UMNO dan PAS ini berlaku sejak dulu lagi, semua orang sudah tahu. Hendak jumpa pemimpin UMNO hari ini dibolehkan kerana dalam Islam tidak ada larangan atau sekatan mengenai perkara itu.

"Cuma yang dibimbangkan, pertemuan itu jangan sampai ke peringkat yang boleh membawa kekeliruan hubungan di antara parti dalam pakatan pembangkang.

"Sekiranya demi untuk kepentingan umat Islam, saya sokong sangat dan saya tetap menyokong apa yang pucuk kepemimpinan sokong," katanya selepas majlis pelancaran Radix Fried Chicken (RFC) yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Bandar Baru Kubang Kerian, dekat sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO sebelum ini termasuk perjumpaan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dengan pemimpin UMNO serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berjumpa dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Ditanya sama ada perlu atau tidak perpaduan antara UMNO dan PAS demi menyelamatkan umat Islam sekarang, Nik Abduh berkata, itu kena tanya Nik Aziz dan pemimpin tertinggi parti lain.
"Mengenai perkara itu (perpaduan antara UMNO dan PAS demi menyelamatkan umat Islam), itu kena tanya ayah saya (Nik Aziz)," katanya.
/hwa: bharian.com.my

Tiada ulasan: