25 Julai 2010

Jenaka tahunan yang tidak pernah selesai

MM(Rencana) - 25/07/2010

Masih ingatkah lagi kisah "jenaka" Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan dalam laporan Ketua Audit Negara tahun 2006 apabila satu set pemutar skru dibeli dengan harga RM224.94 berbanding harga di pasaran hanya RM40? Begitu juga dengan pembelian kamera digital dengan harga RM8,254.29 seunit berbanding harga sebenar RM2,990.

Ini antara yang menggunakan wang rakyat tetapi ironinya rakyat tidak tahu apa kesudahannya kisah "jenaka" ini dan kenapa jadi begitu. Rakyat berhak tahu kerana mereka yang membayar cukai kepada kerajaan dan setiap sen yang digunakan mestilah mempunyai alasan yang munasabah.

Setiap tahun Ketua Audit Negara akan membentangkan laporan untuk tahun sebelumnya. Sesetengah laporan memang akan mengejutkan sesiapa saja apa lagi mereka yang tahu harga sebenar dan harga yang dibayar oleh kerajaan kepada pembekal peralatan kepada kerajaan. Persoalannya adakah Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun dianggap sebagai formaliti saja dan tidak ada tindakan susulan apabila ada harga "yang tidak masuk akal" terpaksa ditanggung oleh kerajaan? Ketua Audit Negara telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan tegas apabila mendedahkan harga yang "tidak masuk akal" tetapi apakah tindakan kepada mereka yang terlibat?

Semua rakyat memerhati walaupun tidak semua bersuara. Perkara ini tidak boleh diambil remeh apabila kerajaan dilihat tidak cekap menguruskan wang rakyat kerana berlaku pembaziran yang melampau di sesetengah agensi atau jabatan kerajaan. Sebuah badan petugas difahamkan telah ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara tetapi rakyat tidak diberitahu hasil siasatan tersebut.

Dalam sidang Dewan Negara Isnin lalu, Senator Ezam Mohd Nor telah menyentuh mengenai Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10). Menurut Ezam, laporan itu sangat baik kerana berjaya mengetengahkan beberapa perkara yang berlaku di luar aturan sekali gus mencetuskan kepada siasatan mengenai penipuan dan rasuah. Beliau bagaimanapun mempersoalkan apakah tindakan yang dikenakan kepada pihak yang melakukan penyelewengan tersebut? Siapakah mereka? Apakah ini turut melibatkan pemimpin politik?

Saranan Ezam supaya ditubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat dan membuat tindakan susulan hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara adalah suatu yang dinanti-nantikan selama ini. Bukan itu saja malah badan bebas tersebut mesti bertanggungjawab melaporkan hasil siasatan kepada Parlimen. Sudah sampai masanya kerajaan memanfaatkan laporan Ketua Audit Negara dengan memandang serius kepada beberapa "perkara luar biasa" yang ada dalam laporan yang didedahkan kepada rakyat setiap tahun. Tujuan mengaudit adalah untuk membendung supaya tidak berlaku penyelewengan di jabatan dan agensi kerajaan.

Positif

Kerajaan harus memandang positif saranan Ezam untuk berlaku adil kepada pegawai dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan yang menjalankan tugas dengan penuh amanah. Malah Laporan Ketua Audit Negara pun tidak mengatakan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan mengambil sikap sambil lewa tentang pembelanjaan. Tetapi apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab atau tidak amanah menggunakan wang rakyat tidak dikenakan sebarang tindakan, ini satu penghinaan kepada mereka yang amanah dan berkira-kira untuk membazirkan duit rakyat. Untuk melahirkan penjawat awam dan ketua yang amanah, kerajaan mesti bertegas membanteras segala macam penyelewengan apabila wujud "harga yang tidak masuk akal".

Antara yang mengejutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 ialah kerajaan terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar antara Rawang dan Ipoh, mengesan adanya pembekal alatan kepada Badan Berkanun Persekutuan pada harga yang "tidak masuk akal" bagi tahun 2008. Selain itu Laporan Audit Negara juga menemui bukti pembelian petrol dengan harga RM300 seliter oleh pihak tertentu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan projek pembinaan Hospital Pekan, Pahang yang melibatkan kos berjumlah RM96.45 juta tidak memuaskan sementara kemudahan yang disediakan tidak boleh dimanfaatkan oleh orang awam.

Ini hanya sebahagian kecil daripada sekian banyak perkara yang luar biasa ditemui dalam Laporan Ketua Audit Negara sejak dulu hingga sekarang. Banyak juga yang tidak diperkatakan. Tetapi hingar bingarnya hanya seketika saja dan semuanya berjalan seperti biasa apabila tidak ada laporan tentang tindakan kepada mereka yang melakukan penyelewengan, tidak cekap dan segala macam sikap buruk yang tidak harus ada kepada penjawat awam. Maka tidak hairanlah kalau ada yang membuat tanggapan bahawa Laporan Ketua Audit Negara tidak lebih sebagai formaliti yang tidak perlu dipandang serius.

Sekiranya semua pihak yang terlibat dengan penyelewengan seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara dikenakan tindakan, rakyat perlu diberitahu bentuk tindakan yang dikenakan. Semua ini untuk mengelak tanggapan bahawa tindakan itu hanya sebagai syarat saja tetapi tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Maka saranan supaya diwujudkan sebuah badan siasatan bebas dan dilaporkan ke Parlimen adalah jalan keluar untuk menyakinkan rakyat bahawa kerajaan memandang berat kepada penyelewengan duit rakyat.

Sebelum ini selepas Ketua Audit Negara membentangkan laporannya, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan dalam laporan 2008. Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, dianggotai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Tetapi sehingga kini rakyat belum diberitahu hasil siasatan jawatankuasa tersebut terhadap penyelewengan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008. Adakah jawatankuasa ini juga hanya formaliti?

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: